Wacana Minda Siri 1/2012 Mendapat Sambutan Menggalakkan
Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah telah berjaya menganjurkan Program Wacana Minda siri 1/2012 bertempat di Auditorium, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah pada 10 Februari 2012. Sebanyak 12 siri telah diatur sepanjang tahun ini yang melibatkan semua jabatan persekutuan, negeri, agensi agama, NGO Islam dan orang awam.
Program kali ini telah berjaya menarik minat seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan persekutuan, agensi agama dan NGO Islam Sabah.
Objektif program ini adalah untuk memberi input dan nilai tambah kepada masyarakat berkaitan isu-isu semasa dan meningkatkan penghayatan dan pengalaman masyarakat terhadap ajaran Islam serta memperkaya minda melalui perkongsian ilmu disamping membudayakan majlis ilmu dikalangan masyarakat.
Penceramah undangan ialah Y.Bhg. Tuan Haji Muhammad Fitri bin Abdullah, Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM dan Saudara Lim Jooi Soon, Penasihat PERKIM Cawangan Ampang dengan tajuk “Mencintai Rasulullah: Satu Pengalaman Baru”.
Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Encik Ruji bin Ubi, Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah yang mewakili Setiausaha Persekutuan Sabah. Turut hadir ialah Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah Jakim Cawangan Sabah, Tuan Haji Samin Ongki, Pengarah YADIM Zon Sabah dan ketua-ketua jabatan serta pimpinan NGO Islam seluruh Sabah.
Program ini turut diserikan dengan persembahan nasyid dari kumpulan Amiratul Amirat, yang dianggotai pelatih Pusat Latihan Dakwah Keningau, acara selawat beramai-ramai dan Kuiz Wacana Minda.

Ceramah disampaikan oleh Tuan Haji Muhammad Fitri

Lim Jooi Soon bersemangat menyampaikan ceramahnya

Pesembahan nasyid dari kumpulan Amiratul Amirat

Salah seorang peserta yang memenangi Kuiz Wacana Minda

Tetamu kehormat yang hadir

Ucapan perasmian oleh Encik Ruji
Groups:
- Hits : 677




