Ziarah Perdana Kampung Sekuau, Sibu

Pada 14 hingga 15 April yang lalu, Bahagian Dakwah Jakim Cawangan Sarawak dengan kerjasama lain-lain agensi telah menganjurkan program ziarah perdana di Kampung Sekuau, Sibu yang melibatkan 150 orang peserta di kalangan saudara kita sekitar kampung berkenaan serta peserta dari kampung lain yang berdekatan. Kampung Sekuau terletak lebih kurang 50 minit jarak perjalanan dari Bandar Sibu. Sebahagian peserta dari luar menginap di Rumah Panjang John Dolah dalam konsep keluarga angkat. Di antara Objektif program ini diadakan adalah untuk mempereratkan silaturahim, mengenalpasti permasalahan dan cuba mencari jalan penyelesaian berkaitan saudara kita, menghulurkan sumbangan dan sokongan berbentuk moral dan material kepada yang memerlukan serta mendekatkan agensi yang pelbagai dengan masyarakat setempat.
 
Program yang diadakan selama dua hari ini disisi dengan slot kaunter pameran dan sesi penerangan daripada pelbagai egensi seperti Jabatan Agama Islam Sarawak, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Kesihatan, Tabung Haji, Tabung Baitulmal, Pejabat Mufti Negeri Sarawak dan lain-lain. Pada sebelah petangnya pula diadakan acara sukaneka yang melibatkan anak-anak saudara kita serta orang dewasa. Acara ini turut disertai oleh masyarakat kampung. Acara pada sebelah malam diisi dengan slot ceramah jatidiri yang disampaikan oleh Penceramah Motivasi, Dr Shafie bin Hj Lugom bertempat di rumah panjang John Dollah. Disamping itu turut diadakan tayangan slide kesedaran dadah dan acara cabutan bertuah.
 
Acara pada sebelah pagi keesokannya pula adalah ceramah oleh Tuan Haji Baharuddin bin Mansur daripada Hikmah dan diikuti dengan sesi dialog di antara peserta dengan agensi yang terlibat. Majlis penangguhan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Joseph Mauh AK Ikeh, ADUN Tamin mewakili Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah. Dalam ucapan penangguhannya beliau menyentuh tentang keunikan masyarakat berbilang etnik di Sarawak yang dapat menjalankan pelbagai aktiviti dalam suasana yang harmoni walaupun berbeza agama. Turut hadir Pengarah Jakim Cawangan Sarawak, Tuan Abdul Hamid bin Mohamed Salleh mewakili Dato’ Ketua Pengarah Jakim, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Wakil Pegawai Daerah,Tuai-tuai Rumah, serta wakli-wakil agensi terlibat.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Date: 
Apr 19, 2012
Groups: