Forum Perdana Ehwal Islam Diraja Bersiaran Secara Langsung dari Istana Melawati, Putrajaya

“Agama Dijunjung, Raja Disanjung”  adalah tajuk yang dipilih pada Forum Perdana Ehwal Islam Diraja pada kali ini. Ironinya Forum Perdana Ehwal Islam Diraja ini adalah yang julung-julung kali diadakan bersempena dengan berlangsungnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-225 pada 12 hingga 14 Oktober 2011.
 
Baru-baru ini telah bersiaran secara langsung Forum Perdana Ehwal Islam Diraja menerusi TV1 pada 13 Oktober 2011 (Khamis)  yang lalu dari jam 9.00 hingga 10.00 malam dari Istana Melawati, Putrajaya.
 
Forum Perdana Ehwal Islam Diraja ini telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Istana Negara, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Radio TV Malaysia (RTM).
 
Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong XIII Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah serta Raja Permaisuri Tuanku Nur Zahirah turut berkenan mencemar duli menghadiri forum berkenaan. Turut berangkat hadir adalah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, menteri-menteri kabinet serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan.
 
Dua orang ahli panel yang dijemput bagi mengupas tajuk ini adalah mantan Ketua Pengarah JAKIM yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia; YBhg. Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz serta Tuan Haji Mahamad Naser bin Disa; Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Syariah), Jabatan Peguam Negara. Manakala moderator forum adalah Encik Zakaria bin Othman. Topik ini telah dikupas dengan baik sekali bagi menerangkan peranan raja-raja dan pemerintah dalam memelihara Islam sebagai agama rasmi negara serta hubungan ulama dan pemimpin di negara ini.  
 
Semoga dengan berlangsungnya forum ini akan menambahkan lagi keyakinan kita dalam menjunjung tinggi institusi beraja di negara ini dalam memartabatkan agama Islam di mata masyarakat sedunia.