Gubahan Bunga Kristal: Hasil Kreativiti Puspanita Jakim Cawangan Sabah

Pada 13 Jun 2010 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1431H, satu Bengkel Gubahan Bunga Kristal yang dianjurkan oleh PUSPANITA Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sosial JAKIM Cawangan Sabah (KASIH) dan Ibu Pejabat Jakim Sabah telah diadakan. Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan tentang kemahiran menghasilkan kraf bagi mengeratkan silaturrahim di kalangan ahli-ahli PUSPANITA serta berkongsi ilmu dan maklumat.
 
Program ini telah diserikan dengan kehadiran Pengerusi PUSPANITA Jakim Cawangan Sabah, iaitu Puan Hajah Hanifah Binti Mahmood yang turut merupakan isteri Pengarah Jakim Cawangan Sabah, disertai oleh 13 orang ahli PUSPANITA yang mana terdiri daripada kakitangan wanita dan isteri-isteri warga kerja Jakim Cawangan Sabah. Seawal jam 9.00 pagi, peserta telah didedahkan dengan praktikal teknik gubahan bunga kristal bermula daripada cara pembuatan kelopak bunga dan daunnya dari bahan seperti dawai, manik-manik dengan menggabungkan semua ranting-ranting yang terhasil membentuk dahan dan menjadi seperti sebuah pokok renek seperti bonzai oleh Puan Sitti Jaidah Binti Bungsu selaku tenaga pengajar.
Pembuatan ini nampak mudah tetapi sebenarnya amat memerlukan kesabaran dan ketekunan untuk membuatnya. Sebanyak 3 buah gubahan bunga kristal telah berjaya dihasilkan oleh peserta kursus dan ianya menjadi hiasan penyeri pejabat Jakim Cawangan Sabah.
 
Pengerusi di dalam ucapan beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada tenaga pengajar kerana telah sudi memberi tunjuk ajar dalam ilmu seni gubahan kerana jarang sekali orang akan mengajar ilmu kemahiran seperti ini. Di samping itu juga, beliau menyeru ahli-ahli PUSPANITA agar mengambil peluang seperti ini untuk menimba ilmu dan pengalaman agar dapat menjadikan kemahiran seperti ini sebagai salah satu pendapatan tambahan serta salah satu cara untuk merehatkan minda di atas penganjuran kursus yang amat bermanfaat ini bagi mengisi masa lapang para wanita di samping tugas-tugas harian mereka.
 
Walaupun begitu, jelas terpancar kegembiraan dan kepuasan pada wajah-wajah ahli PUSPANITA dengan hasil gubahan ini. Harapan peserta kursus, agar PUSPANITA Jakim Cawangan Sabah dapat menganjurkan lagi aktiviti seperti ini pada masa akan datang.
Pengerusi PUSPANITA Jakim Cawangan Sabah, iaituPuan Hajah Hanifah Binti Mahmood yang turut merupakan isteri Pengarah Jakim Cawangan Sabah sedang menyampaikan ucapannya.
Puan Sitti Jaidah Binti Bungsu dan anaknya selaku tenaga pengajar sedang menerangkan teknik gubahan bunga kristal.
Antara bahan-bahan yang digunakan untuk menggubah bunga kristal.
Ahli-ahli PUSPANITA Jakim Cawangan Sabah sedang mempelajari pembuatan kelopak bunga dan daun kristal secara praktikal.
Pengerusi PUSPANITA JAKIM Caw. Sabah menyampaikan cenderamata kepada Pn. Siti Jaidah bt. Bungsu selaku tenaga pengajar kursus.