Imam Masjidil Haram, Syeikh Dr. Abdul Rahman Al-Sudais Menyampaikan Muhadharah di Masjid Darul Quran

23 April 2011- Darul Quran JAKIM telah menerima kunjungan daripada Al-Fadhil Sheikh Dr. Abdul Rahman al-Sudais, Imam Masjidil Haram. Ia merupakan antara agenda lawatan beliau ke Malaysia bermula Isnin lalu. Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Pengarah Jakim, Tuan Hj. Othman bin Mustapha, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, Tn. Hj. Abdul Halid bin Sintol, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Tuan Hj. Razali bin Shahabudin, Pengarah Darul Quran, Tuan Hj. Paimuzi bin Yahya serta para pegawai Darul Quran. Setelah mendengar taklimat ringkas berkenaan Darul Quran, beliau telah mengimamkan solat Zohor di Masjid Darul Quran yang dipenuhi dengan jemaah muslimin dan muslimat yang berjumlah hampir 500 orang.
Agenda kemuncak yang dinantikan ialah sesi muhadharah yang disampaikan  oleh al-Imam Syeikh as-Sudais kepada para jemaah yang terdiri daripada masyarakat setempat, imam-imam masjid sekitar Hulu Selangor, para kakitangan dan pelajar Darul Quran. Antara amanat yang disampaikan dalam muhadharah tersebut ialah:
 
1) Beriman dengan al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya.
2) Bersungguh-sungguh membaca al-Quran kerana amalan membaca al-Quran adalah diibaratkan suatu perniagaan yang tidak akan rugi seperti yang disebut di dalam al-Quran.
3) Kepentingan menghafaz al-Quran, dan setiap individu muslim itu perlu menghafaz al-Quran setakat mana yang mampu.
4) Merenungi dan mentadabbur isi kandungan al-Quran kerana ia adalah mu’jizat yang agung yang menjadi taklifan untuk dihayati oleh setiap insan.
        5) Melaksanakan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.
6) Hendaklah berakhlak dengan akhlak al-Quran sepertimana yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW.
7) Menjadikan al-Quran sebagai sumber perundangan dan sumber rujukan untuk penyelesaian sebarang masalah
8) Mengambil al-Quran sebagai penawar (shifa’), dan bukannya merujuk kepada tukang sihir yang membawa kepada khurafat.
9) Mengawasi dan mengambil berat pada bi’ah sekeliling jika tidak merealisasikan ajaran al-Quran.
10) Menjadikan Islam sebagai cara hidup (way of life) kerana Islam adalah agama yang sempurna merangkumi seluruh aspek  termasuk ibadah, muamalah, syariat dan sebagainya.
 
Di samping itu, beliau turut menasihatkan kepada para ibu bapa agar mengambil berat tentang pendidikan anak-anak dan memastikan ia menepati manhaj al-Quran agar menjadi pentarbiyahan yang sempurna dan terbaik buat mereka. Beliau juga berpesan kepada semua agar menguasai Bahasa Arab sebaik mungkin bagi tujuan memahami al-Quran. Di akhir ucapan, beliau mendoakan agar Darul Quran khususnya menjadi sebuah pusat pengembangan ilmu al-Quran dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada negara yang lain dalam memartabatkan al-Quran di persada dunia.

Gambar-gambar sekitar kunjungan Syeikh As-Sudais ke Darul Quran:

 ©2011 Unit Penerbitan DQ | AnNamir Photography 
Bergambar kenangan bersama sebahagian warga Darul Quran.

©2011 Unit Penerbitan DQ

Ketua Pengarah Jakim bersama Syeikh As-Sudais di bilik tetamu Darul Quran.

 

  ©2011 Unit Penerbitan DQ | AnNamir Photography  

 
 
©2011 Unit Penerbitan DQ | AnNamir Photography
Pengarah Darul Quran mengiringi Syeikh As-Sudais ke Masjid Darul Quran.
 
 
©2011 Unit Penerbitan DQ | AnNamir Photography
Suasana ketika majlis sedang berlangsung.
 
 
©2011 Unit Penerbitan DQ | AnNamir Photography
Syeikh As-Sudais menerima cenderahati kenangan daripada Darul Quran.
 
 
©2011 Unit Penerbitan DQ | Nazra Photography
Syeikh As-Sudais berangkat pulang.
 
Foto oleh:
Muktasyaf Ibrahim AnNamir & Ahmad Nazra Ahmad.