Ingkar Perintah Mahkamah Syariah Akan Didakwa

JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa peka terhadap isu penganiayaan terhadap isteri dan anak-anak ekoran suami tidak mematuhi perintah mahkamah.

Terbaru, Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pendakwaan JAIN secara dasarnya telah besetuju untuk mendakwa pihak yang mengingkari perintah Mahkamah Syariah termasuk suami yang tidak membayar nafkah atau mematuhi perintah penjagaan anak walaupun perintah mahkamah telah dikeluarkan. Ini adalah antara intipati rumusan Bengkel Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Mengingkari Perintah Mahkamah yang diadakan dari 15 hingga 17 Ogos 2006 di Port Dickson. Bengkel ini dihadiri oleh seramai 56 orang peserta yang terdiri daripada Pendakwa Syarie dan Pegawai Penguatkuasa Agama negeri-negeri.

<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

<?xml:namespace prefix = v ns = "urn:schemas-microsoft-com:vml" />

<?xml:namespace prefix = w ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:word" />

Tuan Hj Abdul Latif Ibrahim, Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-undang JAKIM dalam ucapan alu-aluannya berpendapat bengkel ini penting dalam usaha untuk memastikan perintah Mahkamah Syariah dipatuhi. Ini kerana mahkamah berfungsi untuk menegakkan keadilan baik dalam perkara jenayah atau mal (sivil). Untuk itu mereka yang didapati terlibat dengan kes mengingkari perintah mahkamah akan didakwa di bawah Undang-undang Jenayah Syariah berdasarkan kepada peruntukan sedia ada. Sebagai analoginya beliau membawa contoh bagaimana terdapat sesetengah suami yang ingkar perintah mahkamah dalam kes nafkah. Keadaan ini tentulah membawa kesengsaraan kepada bekas isteri mereka kerana terpaksa memikul bebanan berat bagi menyara hidup dan membesarkan anak-anak. Sehubungan itu, apabila tindakan penguatkuasaan ini dapat dilaksanakan, nasib bekas isteri dan anak-anak akan lebih terjamin pada masa hadapan.

Bagi memantapkan perjalanan bengkel ini, beberapa tokoh berpengalaman dijemput bagi membentangkan kertas kerja dalam pelbagai topik yang berkaitan. Pengisian bengkel dimulakan dengan acara 'dinner talk' bertajuk 'Penjelasan Mengenai Kes Mengingkari Perintah Mahkamah : Pengalaman Jabatan Peguam Negara' yang disampaikan oleh Tuan Mahamad Naser bin Disa, Ketua Unit Sivil & Jenayah, Bahagian Penasihat (Syariah), Jabatan Peguam Negara. Program selanjutnya ialah pembentangan empat kertas kerja seperti berikut :

  1. Kekuatan dan Kelemahan Peruntukan Undang-undang Berhubung Ingkar Perintah Mahkamah & Menghina Mahkamah Syariah oleh Tn Hj Mohamad Sekeri bin Mamat (Penasihat Undang-undang JAKIM)

  1. Mengingkari Perintah Mahkamah oleh Tn Hj Abdul Walid bin Abu Hasan (Ketua Unit Muamalat & Keluarga, Jabatan Peguam Negara)

  1. Ingkar Perintah Mahkamah : Tatacara Penguatkuasaan oleh Tuan Zakaria bin Abd Razak (Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Perak)

  1. Ingkar Perintah Mahkamah : Tatacara Pendakwaan oleh Tuan Ibrahim bin Deris (Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan)

Sebaik selesai sesi perbentangan kertas kerja, para peserta mengambil bahagian dalam slot sumbang saran (brainstorming) yang membawa kepada pengutaraan idea-idea bernas seperti keperluan mewujudkan Garis Panduan atau Tatacara Tindakan Bagi Kesalahan Mengingkari Perintah Mahkamah. Selain itu, peserta juga membincangkan berkenaan carta aliran kerja tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan, aspek teknikaliti perundangan dan metodologi yang akan digunakan bagi mempromosikan perkhidmatan ini kepada masyarakat awam.