Jakim Bantu Program Persediaan Pelajar Tajaan JPA ke United States
JAKIM BANTU PROGRAM PERSEDIAAN PELAJAR TAJAAN JPA KE UNITED STATES
Bahagian Dakwah, Jakim melalui Cawangan Pengembangan dan Cawangan Inovasi melebarkan sayap dakwah kepada golongan pelajar-pelajar elit yang cemerlang dan terpilih melanjutkan pelajaran ke Luar Negara atas tajaan Kerajaan. Kerjasama pintar dijalankan antara Bahagian Dakwah Jakim dan Bahagian Pembangunan Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Setiap pelajar yang akan melanjutkan pelajaran atas tajaan JPA ke Luar Negara akan mengikuti program persediaan pelajar sama ada secara jangka pendek atau jangka panjang. Program tersebut juga mengandungi modul wajib antaranya modul Biro Tatanegara (BTN). Bahagian Dakwah, Jakim telah mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama untuk membangunkan modul kerohanian yang akan dijadikan modul wajib pelajar tajaan JPA ke luar Negara.

Sebagai program rintis, Bahagian Dakwah telah terlibat dalam program persediaan pelajar Tajaan JPA ke United States (US) seramai 27 orang yang telah diadakan pada 9 Jun 2012 di Universiti Tenaga nasional (UNITEN). Program selama seminggu ini mengandungi pelbagai taklimat yang diuruskan oleh JPA, BTN dan Jakim turut terlibat menyampaikan satu slot berkaitan Islam dan Isu-Isu Semasa.
Menurut Ustaz Ruslan Bin Said, Ketua Penolog Pengarah, Bahagian Dakwah, sebagai permulaan Jakim akan mengisi slot selama 2 Jam dalam setiap program persediaan pelajar ke luar Negara dan dalam masa terdekat Bahagian Dakwah akan membangunkan modul kerohanian yang akan dijadikan modul wajib kepada program tersebut. Modul ini akan merangkumi panduan musafir, ancaman akidah dan pemikiran semasa, ancaman sosial dan fiqh luar Negara.
”Pelajar-Pelajar ini dianggap sebagai golongan elit dan anak emas kerajaan kerana terpilih melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang profesional atas tajaan kerajaan. Oleh itu, pelajar-pelajar ini harus dibekalkan dengan input-input agama agar menjadi benteng ampuh dan panduan buat mereka di luar negara. Tidak mustahil suatu hari nanti, mereka juga akan menjadi pemimpin utama negara pada masa akan datang”, katanya.


- Hits : 1380







