Jakim hantar Pegawai ke Jepun dan Australia bagi menjayakan Program Usrah Ramadhan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Pembangunan Insan telah melaksanakan program usrah Ramadhan bersama pelajar-pelajar Malaysia di luar negara khususnya di Jepun dan Australia pada tahun ini. Program ini sebenarnya mula dilaksanakan pada tahun 1993 dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) dan terhenti pada tahun 2007. Jakim mula melaksanakan kembali program ini mulai tahun 2011.
 
Program ini dilaksanakan bertujuan untuk mendidik jiwa pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di luar negara disamping menghayati fadhilat bulan Ramadhan dan memberi pengisian rohani agar mereka tidak merasa kekosongan jiwa menjalani ibadah puasa dan berhari raya di perantauan. Melihat kepada kepentingan impak program ini dan juga sambutan yang menggalakkan daripada pelajar-pelajar di sana, pengurusan atasan Jakim memutuskan supaya program ini diteruskan pada tahun ini.
 
Dua orang pegawai Jakim telah dipilih sebagai pembimbing agama bagi menjayakan program ini iaitu Tuan Haji Othman bin Muda, dari Masjid Tuanku Mizan dipilih sebagai pembimbing agama di Jepun dan Tuan Haji Mat Jais bin Kamos,dari Jabatan Mufti Selangor  di Australia. Mereka telah bertolak ke destinasi masing-masing pada 5 Ogos 2012 dan dijangka akan kembali ke Malaysia pada 20 Ogos 2012.
 
Oleh kerana program ini dilaksanakan bersempena bulan Ramadhan, antara tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan ialah menjadi imam solat fardhu dan tarawih, menyampaikan tazkirah/ceramah serta mengendalikan soal jawab kemusykilan agama disamping meraikan pelajar-pelajar di majlis berbuka puasa. Mereka juga akan mengimamkan solat sunat hari raya Aidilfitri  di kedutaan Malaysia di Jepun dan Australia.
 
Adalah menjadi harapan Jakim agar program ini berjaya dilaksanakan dan dapat diteruskan dimasa akan datang serta diperluaskan ke negara-negara lain bagi memperkukuhkan penghayatan Islam dikalangan pelajar Malaysia di luar negara.  
 
 
Tuan Haji Mat Jais bin Kamos dan Tuan Haji Othman bin Muda sebelum berlepas
 
 
Bergambar kenangan bersama urus setia dan ahli keluarga
 
 
Tuan Haji Mat Jais bin Kamos bersadia untuk berlepas ke Australia
 
 
Lambaian gembira Tuan Haji Othman bin Muda sebelum berlepas
Tarikh: 
Aug 10, 2012