Jakim Unjur Peningkatan Jualan Buku RM200,000 Bagi Tahun Fiskal 2012
Nilai jualan buku-buku terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada separuh tahun pertama 2012 meningkat 60% berbanding jumlah jualan pada separuh tahun pertama 2011 iaitu RM107,558.70 kepada RM171,970.35, dengan kuantiti buku terjual sebanyak 8,369 naskhah.
Kejayaan rekod jualan yang dicatat sepanjang bulan Januari hingga Julai 2012 ini telah mengatasi hasil perolehan keseluruhan tahun 2011 iaitu RM168,566.87. Bersandarkan peningkatan perolehan ini, Jakim menerusi Bahagian Penerbitan menyasarkan peningkatan jualan keseluruhan pada tahun 2012 iaitu RM200,000, peningkatan 25% berbanding tahun sebelumnya.
Dalam usaha memperluaskan lagi pencapaian jualan buku-buku terbitan Jakim, pelbagai usaha sedang dirancang, antaranya adalah mewujudkan kerjasama strategik dengan pihak swasta terutamanya syarikat-syarikat pengedar buku bagi merancakkan lagi industri perbukuan. Kerjasama tersebut dilihat dapat membantu meningkatkan sasaran jualan yang lebih tinggi. Ini kerana pelanggan terbesar yang menyumbang kepada rekod jualan yang tinggi adalah syarikat-syarikat pengedar buku yang setia membeli buku-buku Jakim.
Pembukaan Kedai Buku Jakim di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada akhir tahun 2011 juga dilihat sebagai faktor utama peningkatan rekod jualan pada tahun ini. Menerusi cawangan kedai buku tersebut, peminat buku-buku terbitan Jakim mudah memperoleh naskhah terbitan terkini. Pada masa yang sama, usaha mempromosi cawangan kedai buku baharu ini sedang giat dijalankan dalam pelbagai medium.
Selain itu, Jakim sentiasa meningkatkan usaha menghasilkan terbitan berkualiti yang bertujuan membangun pemikiran ummah dan menyebarkan dakwah Islamiah melalui bahan-bahan terbitan bercetak berunsur Islam dalam pelbagai bidang. Jakim juga tidak ketinggalan dalam memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat seperti facebook dan twitter. Pelanggan boleh melayari http://www.facebook.com/pages/Kedai-Buku-Jakim dan twitter @jakimbookstore. Menerusi kedua-dua medium ini, maklumat terkini berkaitan buku-buku terbitan Jakim dapat diakses semudah mengklik di hujung jari.
Bahagian Penerbitan Jakim merupakan bahagian yang bertanggungjawab dalam menerbit serta memasarkan buku-buku terbitan Jakim.


Kedai Buku Jakim Masjid Tuanku Mizan.

Lawatan TKSUK ke Unit Promosi.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012.
Tarikh:
Aug 29, 2012   Groups:
- Hits : 1773







