Jawatankuasa Fatwa MKI Menghadap Tuanku Al-Sultan Kelantan

Bertempat di Istana Negeri Kubang Kerian baru-baru ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan,Sultan Muhammad V telah mengampuni perkenan untuk menerima menghadapJawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).Majlis yang berlangsung pada 14 Februari 2012, bermula pada jam 5.45 petang dengan penyampaian cenderahati kenangan daripada Jawatankuasa Fatwa MKI dan disusuli dengan kurniaan Tuanku al-Sultan kepada Y. Bhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin selaku Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI. Beberapa isu khususnya yang berkaitan dengan hal ehwal kefatwaan telah disembah maklum kepada Tuanku al-Sultan. Majlis Mengadap berakhir pada jam 6.30 petang dengan sesi bergambar Tuanku al-Sultan bersama semua ahli Jawatankuasa Fatwa MKI.
 
Bersempena dengan Majlis Menghadap yang diadakan tersebut, juga telah berlangsung Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-98 yang bermula pada 13 hingga 15 Februari 2011 di Grand Riverview Hotel Kota Bharu Kelantan. Seramai 13 orang Sahibus Samahah Mufti Negeri-negeri, tujuh (7) orang Ahli Dilantik oleh Majlis Raja-Raja hadir pada Muzakarah kali ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM dan wakil Pengarah Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan JAKIM .
 
Antara isu-isu yang telah dibincangkan pada Muzakarah kali ini ialah Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy)Bagi Pesakit Luka Kronik,Status Terkini Pematuhan Syariah Skim Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN), Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik danHukum Meminum Kopi Luwak (Musang).
 
Muzakarah kali ke-98 ini berakhir dengan harapan mudah-mudahan semua keputusan yang telah dicapai di dalam Muzakarah ini akan diberkati oleh Allah SWT  dan dapat menjadi panduan dan dilaksanakan dengan baik oleh semua pihak.