Kaedah Penentuan Awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah Di Malaysia

Pengenalan Takwim

"Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami), Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang benderang, supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); Dan (ingatlah tanda seruan) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah terangkan dia satu persatu (di dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya"
Surah al-Israa_x0019_; 12


--------------------------------------------------------------------------------

* Kertas ini telah dibentang dalam Muzakarah Falak anjuran JAKIM pada 30 Jun _x0013_ 2 Julai 2003 di
Corus Paradise Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Takwim atau kalendar boleh ditakrifkan sebagai satu rekod perjalanan waktu atau sistem susunan masa yang membahagikan tahun menjadi bulan, bulan menjadi minggu dan minggu menjadi hari. Peranan takwim dalam kehidupan manusia sangat penting. Ia merupakan sistem masa yang berkait rapat dengan aktiviti sosial dan keagamaan bagi membantu manusia mentadbir kehidupan seharian. Ia diasaskan kepada kedudukan bulan (Takwim Hijriah) atau matahari (Kalendar Masehi atau lebih tepat Miladiah).

Tarikh Takwim/Kalendar Diperkenalkan

Takwim Hijriah mula diperkenalkan semasa pemerintahan Khalifah Islam kedua, Sayidina Umar Ibn al-Khattab dalam tahun 638 Miladiah. Takwim hijriah dipilih bersempena dengan penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dari Makkah ke Madinah. Awal Muharram tahun pertama hijriah bersamaan dengan 16 Julai 622 Miladiah.


Manakala Kalendar Miladiah pula adalah berasaskan kedudukan matahari. Tahun Miladiah atau Masehi atau Gregorian adalah berasal daripada Kalendar Julian (Julius Ceasar) yang diperkenalkan sejak tahun 45 BC. Kalendar Gregorian hanya mula digunakan secara rasmi pada tahun 1582 setelah melalui beberapa pengubahsuaian oleh Pope Gregory XIII.

Jenis Takwim

Pada asasnya Takwim Hijriah berdasarkan kepada peredaran bulan, tetapi secara praktikalnya ia terbahagi kepada beberapa jenis takwim seperti berikut:


· Takwim Istilahi


Bilangan hari bagi bulan-bulan yang terdapat di dalam takwim ini disusun berselang-seli 30 dan 29 hari menjadikan 354 hari setahun.


· Takwim Hakiki


Takwim yang berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari, di mana penentuan awal bulan hijriah dikira berpandukan ketika berlakunya ijtimak hakiki. Apabila ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam, maka sejak terbenamnya matahari itulah dikira awal bulan hijriah yang baru. Sebaliknya jika ijtimak berlaku selepas terbenam matahari, maka keesokan harinya digenapkan 30 haribulan.


· Takwim Wujudul Hilal


Takwim yang berdasarkan sistem ijtimak juga, tetapi penentuan awal bulan dikira mengikut wujudnya hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam. Bermula dari waktu terbenam matahari itulah bulan baru dikira.


· Takwim Imkanur-Rukyah


Takwim Imkanur-Rukyah adalah di mana penentuan bagi setiap awal bulan hijriah yang berdasarkan rukyah dan hisab mengikut kriteria ketetapan yang telah ditentukan.

Ciri-Ciri Takwim/Kalendar


· Takwim Hijriah


· Bulan


Firman Allah S.W.T.

Maksudnya;
'Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (Ketetapan) yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang yang bertaqwa'
Surah al-Taubah; 36


Bulan qamariah dalam setahun adalah 12 bulan iaitu bulan Muharram, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bilangan hari bagi setiap bulan qamariah mengandungi 29 atau 30 hari bergantung kepada bila berlakunya ijtimak dan kewujudan/kenampakan hilal pada penghujung bulan qamariah hari ke-29 setiap bulan hijriah mengikut syarat-syarat tertentu.


· Hari


Hari di dalam perkiraan Takwim Hijriah bermula dari waktu matahari terbenam. Ini berbeza dengan Kalendar Miladiah yang perkiraan harinya bermula pada jam 12.00 tengah malam. Dalam setahun, Takwim Hijriah mempunyai 354.36 hari, beza 10 atau 11 hari dari jumlah hari dalam Kalendar Miladiah. Setiap tahun, hari-hari kebesaran Islam dirayakan dalam musim yang berlainan. Ia akan kembali ke musim asal setiap 33 tahun (1 pusingan lengkap). Tahun baru hijriah iaitu 1 Muharram disambut pada musim berlainan iaitu ia berganjak sebanyak 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun.

· Kalendar Miladiah


· Bulan


Bulan-bulan yang terkandung dalam Kalendar Miladiah terdiri daripada bulan Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun, Julai, Ogos, September, Oktober, November dan Disember. Jumlah bilangan hari bagi setiap bulan adalah 31 dan 30 hari berselang-seli bermula dengan bulan Januari, kecuali bulan Februari mempunyai bilangan 28 atau 29 hari sahaja.


· Hari


Pengiraan hari bagi Kalendar Miladiah bermula tengah malam. Dalam tempoh setahun ia mempunyai 365 atau 366 hari mengikut bilangan hari yang ada setiap bulan tetapi jumlah yang tepat atau sebenarnya adalah 365.2422 hari. Bagi tahun yang mempunyai jumlah hari 366 (29 hari pada bulan Februari), ia dikenali sebagai tahun lompat. Ini berlaku setiap empat tahun sekali. Tarikh bagi hari-hari penting setiap tahun adalah tetap dan disambut dalam musim yang sama, contohnya seperti Tahun Baru Miladiah yang disambut pada 1 Januari setiap tahun.