Kejayaan Hijrah Hasil Perancangan Strategik oleh Ghafani Awang Teh, Panel Penulis Jakim. (Berita Harian 27/12/2008)
Berita Harian (Sabtu 27/12/2008)
Kejayaan Hijrah Hasil Perancangan Strategik
Oleh Ghafani Awang Teh, Panel Penulis Jakim.
Program Madinah bukti kebijaksanaan Rasulullah bentuk tamadun ummah
Hijrah bermakna perubahan yang membina masa depan cemerlang dan mewujudkan ummah bertakwa. Hijrah untuk kebaikan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara pada dasarnya selari dengan keperluan fitrah kejadian manusia.
Bagaimanapun, perubahan itu tidak berlaku dengan sekelip mata atau secara kebetulan, tetapi memerlukan perancangan strategik.
Menurut Stone dan Wankel dalam buku Pengurusan (terjemahan Ibrahim Yaakub,1986) menyatakan perancangan strategik ialah proses perancangan jangka panjang bagi sesuatu organisasi membentuk wawasan, dasar, hala tuju, membuat keputusan dan pelan tindakan untuk mencapai matlamat tertentu.
Kelebihan besar perancangan strategik ialah sesuatu organisasi itu dapat memberi keyakinan tinggi dan meletakkan matlamat jelas kepada pekerja atau tenaga penggerak terhadap sesuatu program dilaksanakan.
Antara aspek penting perancangan strategik ialah membuat analisis persekitaran yang berkait rapat dengan penilaian mengenai kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran yang ada pada sesebuah organisasi dalam usaha memenangi atau mencapai matlamat ditetapkan.
Kita yakin pencapaian besar Rasulullah SAW dalam pelaksanaan hijrah dan mengubah landskap akidah, undang-undang dan akhlak masyarakat jahiliah adalah kerana kecemerlangan perancangan strategik.
Rasulullah SAW menyedari walaupun Islam baru bertapak di Makkah, tetapi ia memiliki kekuatan untuk membina masa depan manusia selari dengan standard piawaian yang ditetapkan Allah.
Kekuatan itu ialah Islam adalah agama Allah dan bersifat sejagat.
Maknanya, Islam sesuai untuk diamal, mendapat sambutan baik di kalangan rakyat bawahan Quraisy, menerima sokongan kuat golongan korporat dan semangat sukarelawan berjihad yang tinggi di kalangan sahabat. Kelemahan kelihatan nyata di pihak Rasulullah SAW pada masa itu ialah tidak memiliki kekuatan politik dan tentera.
Namun, kesediaan penduduk Madinah menerima Islam membuka peluang besar kepada Rasulullah SAW untuk memulakan hijrah. Puak Yahudi dan Musyrikin di luar Makkah pada masa itu tidak menjangkakan Islam menjadi agama yang bertenaga membina tamadun manusia.
Selari dengan penemuan analisis persekitaran itu, maka Rasulullah SAW membuat pelan tindakan untuk berhijrah ke Madinah. Baginda berjaya bekerjasama dengan Ali, Abu Bakar as-Siddiq, sahabat, pengembala, orang kampung dan pemimpin masyarakat Madinah menjayakan hijrah.
Kejayaan hijrah itu menyebabkan pemimpin Quraisy kecewa dan merangka strategi lain untuk menentang Rasulullah SAW. Dengan demikian dakwaan Rasulullah SAW dan umat Islam berhijrah ke Madinah sebagai pelarian adalah tidak benar.
Sebaik saja tiba di Madinah, Rasulullah SAW terus membina Masjid Quba'. Pembinaan masjid itu menjadi titik tolak hijrah akan membina masa depan Islam yang cemerlang dan mengubah keseluruhan gaya hidup masyarakat jahiliah.
Usaha meneruskan pelan tindakan memperkasakan Islam di Madinah, Rasulullah SAW mempersaudarakan orang Muhajirin dan Ansar. Persaudaraan itu memacu kekuatan Islam. Pada masa sama, Rasulullah SAW berusaha mewujudkan perdamaian dan keamanan dengan puak Yahudi, dan Musyrikin Madinah.
Bagi menjamin keamanan di Madinah, maka Piagam Madinah dibentuk. Rasulullah SAW juga mengadakan Perjanjian Hudaibiyah dengan puak Musyrikin Makkah. Usaha itu selari dengan prinsip ajaran Islam yang sentiasa menghulurkan perdamaian dan berikhtiar mengelakkan peperangan.
Kejayaan hijrah dan Islam bertapak kukuh di Madinah mula menimbulkan bibit pertembungan ideologi Islam dan Barat. Musuh Islam bersatu dan mewujudkan pakatan untuk menghapuskan Islam dan memulakan Perang Badar, Uhud, Khandak dan pencetus peperangan lain.
Sejarah putaran musuh Islam untuk menghapuskan Islam tidak pernah padam. Mereka tidak boleh menerima ideologi Islam menguasai dan memimpin gaya hidup dunia. Malah, mereka bimbang ideologi sekularisme serta liberalisme mempunyai masa depan gelap dan akan terhapus di muka bumi.
Kerisauan pihak Barat mengenai masa depan ideologi mereka amat berasas kerana ideologi mereka memperlekeh tuhan, mempersendakan tuhan, tetapi memperhambakan pemikiran manusia.
Dalam usaha menyekat kemaraan Islam itu, maka hari ini pakatan musuh Islam sentiasa mengadakan perancangan strategik termasuklah melaksanakan pelan tindakan antaranya program kempen Islamophobia melalui media cetak, elektronik, pemikiran dan pendidikan. Usaha itu dibuat untuk mengikis dan menghapus kekuatan pegangan akidah, syariah dan akhlak umat Islam.
Bagi membina masa depan dan meneruskan kesinambungan kejayaan Hijrah, maka umat Islam perlu memperhebatkan perancangan strategik supaya masa depan ummah mengulangi kecemerlangan Islam pada zaman Rasulullah SAW, Khulafa' al-Rasyidin, Umaiyyah, Abasiyyah dan kerajaan Othmaniah Turki.
Ibu bapa menjadi fokus utama untuk membina kekuatan keluarga dan masa depan Islam. Selari dengan semangat hijrah, maka ibu bapa perlu membuat perancangan strategik, membuat analisis persekitaran dan pelan tindakan untuk membina masa depan keluarga yang berkualiti.
Perancangan strategik dalam pembentukan keluarga ini sewajarnya bermula sejak anak berada dalam alam kandungan, kanak-kanak, mumaiyyiz, akil baligh, remaja dan belia. Tahap ini adalah masa terbaik untuk menentukan pertumbuhan dan pembesaran anak serasi dengan fitrah kejadian manusia.
Sempena sambutan Maal Hijrah dan sambutan tahun baru Islam ini, maka marilah kita beristiqamah menjadikan Islam sebagai agama penyelamat dan membina masa depan manusia bertakwa.
Firman Allah bermaksud: 'Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku (agama Islam), yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan yang lain dari Islam, kerana jalan lain mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan demikian itulah, Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.' (Surah al-An'am, ayat 153)
Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
- Hits : 2742







