Kemeriahan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jakim
Putrajaya- Pada 10 September 2012, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sekali lagi telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aildilfitri bagi tahun 1433H/2012M bertempat di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin, Presint 3, Putrajaya.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir di majlis tersebut ialah YB Dato’ Dr. Mashitah Binti Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Pengarah Jakim, YBhg. Dato’ Othman bin Mustafa, Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Jakim serta Pengarah-Pengarah Bahagian Jakim. Turut hadir dalam majlis tersebut iaitu Ketua-ketua Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri wakil-wakil kementerian dan wakil-wakil NGO.
Majlis turut mengundang Mufti Wilayah Persekutuan iaitu YBhg. SS Dato’ Hj Wan Zaidi bin Wan Teh serta Mufti Selangor, YBhg. Dato’ Seri Utama Diraja Dato’ Setia Haji Mohd. Tamyes bin Abdul Wahid.
Sebelum Majlis Sambutan Aidilfitri bermula, satu syarahan perdana telah disampaikan oleh YBhg. Dr. Zaharuddin bin Abdul Rahman, pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Seterusnya majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan bantuan kepada 29 daripada 36 NGO Islam bagi tahun 2012 serta sumbangan kepada anak yatim bagi kakitangan Jakim.
Disamping itu, terdapat sembilan belas gerai yang mewakili setiap bahagian yang mana terdapat pelbagai jenis juadah dan hidangan disediakan untuk para tetamu. Majlis dimeriahkan lagi dengan penyampaian hadiah kepada gerai yang tercantik dimenangi oleh gerai Bahagian Media. Majlis tersebut juga dapat mengeratkan silaturahim dan ukhwah di antara warga Jakim. Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada Kumpulan Hijjaz dan DGWA.
Majlis yang bermula pada jam 10.00 pagi itu telah berakhir pada jam 2.00 petang dengan kehadiran yang dianggarkan hampir 800 orang.

Majlis penyampaian sumbangan kepada NGO Islam oleh YB Menteri

Bacaan doa oleh Imam Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin



Tarikh:
Sep 14, 2012   - Hits : 1458







