Kempen Derma Darah dan Pameran Kesihatan Siri 2/2012

Jalan Perdana, Kuala Lumpur – Masjid Negara telah menganjurkan Kempen Derma Darah dan Pameran Kesihatan Siri 2/2012 di Anjung Makam Pahlawan, Masjid Negara, Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Kempen sehari yang diadakan pada Jumaat, 6 Julai 2012 bermula jam 10.00 pagi dan berakhir sekitar jam 4.00 petang tersebut mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang awam.

Kempen kali ini mendapat kerjasama daripada Pusat Darah Negara, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Klinik Pergigian Tanglin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pusat Sumber Transplan Nasional, Bahagian Perkhidmatan Farmasi serta Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Tiga buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Persatuan bagi Mencegah Penyakit Tibi juga menyertai Program pada kali ini.

 

Kempen tahunan ini merupakan kali kedua diadakan bagi tahun 2012. Ianya merupakan salah satu aktiviti yang telah dirangka oleh Unit Perhubungan Awam dan Pusat Sumber, Masjid Negara. Tujuan utama kempen ini diadakan adalah untuk membantu Pusat Darah Negara mengisi tabung darah mereka. Selain itu ianya sebagai salah satu alternatif ke arah kebajikan yang dapat dilakukan oleh pihak Masjid Negara kepada masyarakat umum di samping memberi informasi dan pendidikan yang berguna serta bermaklumat tentang kesihatan. Ianya juga sebagai langkah untuk terus mengimarahkan Masjid Negara sebagai masjid terulung di Malaysia. Ini juga dapat menggalakkan orang ramai menderma darah sambil beramal.

 

Daripada 168 orang yang mendaftar, seramai 128 orang telah layak untuk mendermakan darah mereka semasa kempen tersebut berlangsung. Jumlah tersebut merupakan antara yang tertinggi dicatatkan sepanjang Masjid Negara menganjurkan Kempen Derma Darah bermula pada tahun 2002. Walaupun jumlah itu dilihat sedikit tetapi sumbangan yang diberikan daripada orang awam sememangnya amat dihargai. Pihak penganjur mengharapkan agar kempen ini akan mendapat sambutan dan perhatian daripada orang ramai pada masa akan datang dengan memberikan lebih banyak publisiti serta promosi yang lebih meluas dan informasi awal kepada masyarakat umum berkenaan kempen ini.

 

Pelbagai pengisian menarik yang telah diadakan selain kempen menderma darah antaranya:

  • Pemeriksaan kesihatan percuma oleh Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST)
  • Pemeriksaan gigi secara percuma oleh Klinik Pergigian Tanglin
  • Pameran oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi serta Bahagian Kesihatan Tradisional dan Komplementari di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia
  • Pendaftaran dan semakan sebagai pemilih bagi pilihanraya oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR)
  • Pameran kesihatan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)
  • Peranan dan objektif penubuhan Pusat Sumber Transplan Nasional
  • Pameran oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Persatuan bagi Mencegah Penyakit Tibi

 

Kempen Derma Darah dan Pameran Pendidikan Kesihatan seterusnya dijangka diadakan sekitar bulan Disember 2012 yang diharap akan mendapat kerjasama daripada Jabatan / Agensi sedia ada dengan pertambahan Jabatan / Agensi yang berminat untuk membuat pameran pendidikan kesihatan serta pertambahan daripada bilangan penderma yang ingin membuat kebajikan dengan menderma darah.

 


 

Disediakan oleh:

UNIT PERHUBUNGAN AWAM DAN PUSAT SUMBER, MASJID NEGARA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)