Kemurnian Rohani dan Kekuatan Jasmani Modal Terbesar Membentuk Ummah Gemilang(Utusan Malaysia,10 Januari 2008)
KEMURNIAN ROHANI DAN KEKUATAN JASMANI MODAL TERBESAR MEMBENTUK UMMAH GEMILANG
Oleh : Mohd. Kamel bin Mat Salleh
Pusat Pemulihan Akidah Jelebu
Islam adalah rahmat untuk sekalian makhluk. Pengiktirafan ini dinyatakan secara jelas oleh Allah S.W.T melalui firmanNya yang bermaksud “kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah” (Surah Ali Imran ayat 110).
Penegasan ini membayangkan tentang kehebatan Islam dan ummahnya dalam mencipta kegemilangan hidup sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Islam cemerlang lantaran penganutnya yang hebat dan berwawasan, berani mencipta kegemilangan untuk mewarnai dunia berlandaskan undang-undang syariatNya. Terdapat pelbagai faktor yang boleh dijadikan hujah dan dalil bagi membenarkan pernyataan yang terdapat dalam wahyu Ilahi seperti yang dinyatakan di atas.
Ummah yang terbaik dan gemilang sebenarnya berpunca dari kekuatan luaran dan dalaman atau dengan ungkapan yang lebih jelas, kekuatan rohani dan jasmani yang berdiri seiring saling imbang mengimbangi, tanpa memberatkan satu unsur dengan mengenepikan unsur yang lain.
Kemurnian rohani dan kekuatan jasmani, itulah tunggak asas yang menjadi tunjang kecemerlangan umat Islam sejak detik awal penyebaran Islam di zaman Rasulullah s.a.w sehinggalah ke zaman ini. Inilah yang menjadi prnsip utama keseimbangan dan kesederhanaan dalam Islam. Justeru, tamadun Islam yang gemilang sebenarnya diasaskan atas dasar akidah, iaitu suatu nilai kerohanian tertinggi. Ini diperkuatkan dengan unsur syariah yang menjadi tulang belakang kekuatan jasmani sehingga Islam tertegak utuh di Semenanjung Tanah Arab sehingga melangkaui sempadan dunia dan ufuk benua.
Kemurnian rohani merujuk kepada kebersihan hati dan kesucian jiwa yang menjadi tumpuan utama pandangan Allah terhadap hambaNya. Dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah dinyatakan, bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang maksudnya “sesungguhnya Allah Taala tidak melihat kepada jisim dan rupa paras kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati dan amalan-amalan kamu” (Riwayat Muslim).
Rohani adalah ibarat raja dalam diri manusia yang akan menentukan baik atau buruknya individu tersebut. Hadith keenam dalam himpunan al-Arba’in al-Nawawiyyah ada menyebut daripada Abi Abdullah al-Nu’man bin Basyir, beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya “ingatlah dan bahawasanya dalam jasad manusia itu ada seketul daging yang apabila baik daging tersebut, maka baiklah jasad keseluruhannya, dan jika rosak daging tersebut maka akan rosaklah jasad keseluruhannya, itulah dia hati” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dua petikan hadith ini menggambarkan betapa pentingnya peranan roh yang menggerakkan jasad dan fizikal manusia dalam mengembangkan tanggungjawabnya membina peradaban dunia.
Kecantikan rohani menggambkan keindahan jasmani. Seumpama orang yang ingin mengerjakan solat, mesti memastikan tempat solat dan pakainnya bersih, tetapi terlebih dahulu, untuk menghadap Allah Rabbul Jalil, persoalan rohani mesti terlebih dahulu disucikan. Jika pakaian terkena najis dianggap tercemar, begitu juga jika rohani penuh dengan dosa dan maksiat, maka solat yang didirikan seolah-olah tiada makna. Apabila pakaian yang kotor mudah dibersihkannya, tetapi adakah ramai dari kalangan manusia memikirkan hendak membersihkan rohaninya yang telah kotor?
Maka amat tepatlah seruan Allah S.W.T kepada umat manusia agar memperbanyakkan mengingatiNya supaya kemurnian rohani dapat dipertingkatkan semaksima mungkin dalam menggalas amanah mendaulatkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Firman Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud “ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu akan memberi ketenangan kepada hati” (Surah al-Ra’d ayat 28).
Allah S.W.T juga menjamin pulangan yang baik di sisiNya kepada individu yang sentiasa berusaha membersihkan rohaninya melalui ayat suci al-Quran yang bermaksud “sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya” (Surah al-Syams ayat 9-10).
Dalam membangunkan modal insan bagi membentuk sebuah ummah yang gemilang, kecemerlangan tidak hanya terhenti kepada kemurnian rohani semata-mata tetapi ia perlu diseimbangkan dengan kekuatan jasmani, kerana ummah yang unggul tidak dapat dibina oleh mereka yang lemah fizikal serta daya ketahanan diri.
Faktor kejayaan hadharah silam sejak zaman Rasulullah s.a.w. didokong kuat oleh generasi muslim yang kental, hebat dan gagah perkasa fizikalnya di samping kekuatan rohani yang utuh dalam diri. Dengan sebab itulah terdapat beberapa pernyataan baginda yang menekankan kepada kekuatan lahiriah yang sewajarnya ada pada setiap individu muslim.
Sebuah hadith daripada Abu Hurairah yang bermaksud “orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan dikasihi di sisi Allah daripada orang mukmin yang lemah” (Riwayat Muslim).
Ulasan yang menarik diberikan oleh Imam al-Qurtubi bahawa bahawa kekuatan yang dimaksudkan dalam hadith tersebut ialah kekuatan jasmani dan rohani, kerana dengan kekuatan kedua-dua unsur ini seseorang manusia mampu melaksanakan amal ibadah seperti menunaikan haji, berpuasa, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran, manakala orang yang lemah rohani dan fizikal pasti gagal melaksanakannya.
Bagaimana mungkin orang yang lemah mampu untuk memikul satu tanggungjawab berat terutama dalam zaman yang memerlukan pelbagai kepakaran ikhtisas. Maka tidak hairanlah pemilihan Nabi Musa sebagai pekerja kepada Nabi Syuaib lantaran kekuatan jasmani yang ada pada baginda. Hal ini jelas dirakamkan oleh Allah S.W.T melalui firmanNya daripada nukilan kata-kata anak perempuan Nabi Syuaib yang bermaksud “wahai ayahku, ambillah dia (Musa) sebagai orang yang bekerja (kepada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dipercayai” (Surah al-Qasas ayat 26).
Paparan sejarah silam yang menjadi contoh tauladan kepada manusia hari ini sarat dengan contoh keberanian dan kekuatan jasmani generasi terdahulu. Sebagai contoh Nabi Daud a.s terkenal dengan kehebatannya melunturkan besi waja yang keras. Firman Allah S.W.T yang bermaksud “dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang kali bersama Daud, dan Kami telah melunakkan besi untuknya. Buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya, dan kerjakanlah amalan yang soleh. Sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan” (Surah Saba’ ayat 10-11).
Allah S.W.T juga mengurniakan kepada kaum Bani Israel seorang yang gagah jasmani menjadi pemimpin kepada mereka iaitu Thalut sepertimana yang dikisahkan dalam al-Quran ayat 247-252 surah al-Baqarah.
Contoh tauladan nabi dan kaum terdahulu seharusnya dijadikan azam dan pembakar semangat untuk menjana kekuatan luaran dan dalaman kaum muslimin dalam meneruskan kehidupannya. Melihat kepada contoh yang paling dekat, bagaimana pada diri Rasulullah s.a.w sendiri adalah insan hebat yang punyai kemurnian rohani dan kekuatan jasmani. Manakan mampu baginda bertindak sebagai pemimpin orang Islam di zamannya dan dalam masa yang sama bagindalah ketua angkatan tentera, hakim pemutus segala permasalahan rakyat, tokoh guru dan pendidik terulung, bapa dan suami mithali, imam yang mengetuai solat, perancang ekonomi negara dan sebagainya, jika tidak punyai kekuatan fizikal dan mental.
Seorang sahabat bernama al-Barra’ menceritakan “bahawasanya Rasulullah ketika di medan peperangan, amatlah gagah perkasa, keberaniannya sehingga baginda adalah orang yang paling dekat dengan musuhnya”. Dengan sebab itu, apabila turunnya ayat Allah yang memerintahkan kaum muslimin supaya berjihad, Rasulullah dengan segera memberi semangat peransang kepada para sahabat supaya segera bangun dan bingkas menyahut cabaran tersebut dengan penuh keberanian. Malah secara amalinya, Bagindalah yang paling awal menggerakkan para sahabatnya agar segera berjuang.
Firman Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud “berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan ataupun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui” (Surah al-Taubah ayat 41).
Allah S.W.T juga memberi peringatan kepada kaum muslimin agar melakukan apa sahaja pekerjaan dengan roh kekuatan sehinggakan dalam keadaan yang amat genting berhadapan dengan pihak musuh sekalipun disarankan agar memperkukuhkan barisan. Manakan mungkin sesuatu barisan dapat diperkukuhkan jika lemah dan longlainya fizikal. FirmanNya dalam al-Quran yang bermaksud “sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh” (Surah al-Shaff ayat 4).
Berdasarkan kepada pernyataan tersebut jelas menunjukkan bahawa kecemerlangan manusia memerlukan kepada kekuatan sokongan dalaman dan luaran, dan ianya mesti berjalan seiring, tidak boleh diutamakan satu bahagian dengan mengabaikan bahagian lain yang akan menyempurnakannya. Dengan sebab itu, generasi sahabat dikenali sebagai ruhban bil lail wa fursanun bin nahar iaitu umpama rahib di malam hari dan singa ganas di siang hari.
Pengabaian salah satu unsur samada rohani mahupun jasmani adalah faktor yang menyebabkan kegagalan mencapai kejayaan dalam hidup. Peristiwa dalam Perang Badar dan Uhud harus menjadi iktibar, dengan semangat kekuatan rohani dan jasmani, umat Islam berjaya mencapai kemenangan dalam Perang Badar. Namun Allah S.W.T ingin memberi pengajaran, sekiranya aspek lahiriah punyai seribu kekuatan, tetapi aspek kerohanian diambil ringan, pasti kekalahan akan menjelma.
Hal ini dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran melalui firmanNya yang bermaksud “dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janjiNya kepada kamu, ketika kamu membunuh mereka dengan izinNya sampai saat kamu lemah dan berselisih dalam urusan itu (perintah Rasulullah kepada pasukan pemanah supaya bertahan di atas bukit) dan menderhakai perintah Rasul sesudah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan). Di antara kamu ada orang yang mengkehendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang mengkehendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka, untuk menguji kamu, dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah mempunyai kurnia yang dilimpahkannya ke atas orang-orang yang beriman” (Surah Ali Imran ayat 152).
Kesepaduan kekuatan inilah sebenarnya yang akhirnya menghasilkan keredhaan dan pahala daripada Allah S.W.T. FirmanNya dalam al-Quran yang bermaksud “tidaklah sama antara mukmin yang duduk (tidak turut berjuang dan berperang) yang tidak mempunyai keuzuran, dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwa berbanding dengan orang-orang yang duduk (tidak berperang kerana lemah dan uzur) dengan satu darjat. Kepada mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad daripada orang yang duduk dengan lebihan pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’ ayat 95).
Justeru itu, dalam usaha Malaysia sebagai sebuah negara Islam menuju ke mercu kegemilangan melalui Wawasan 2020, berpaksikan rakyat yang mempunyai minda kelas pertama, maka modal insan perlu diangkasakan supaya dapat berdiri seiring dengan negara maju yang lain, walaupun kejayaan material yang ingin dikecapi, tetapi pembangunan rohani serta kekuatan fizikal perlu dipertingkatkan agar tiada berlakunya ketirisan dari sudut akhlak dan spiritual. Sesungguhnya kesepaduan kekuatan rohani dan fizikal adalah benteng paling ampuh dalam mendepani cabaran semasa ummah yang kian global dan universal.
Sebagai memetik idea yang dikupas oleh al-Syeikh Sayyid Sabiq dalam bukunya “Anasir al-Quwwah fi al-Islam” (Unsur-Unsur Kekuatan Dalam Islam) beliau menyenaraikan gandingan kemurnian rohani dan kekuatan fizikal yang sepatutnya ada sebagai syarat kemenangan umat Islam dulu, kini dan selamanya. Kemurnian dan kekuatan itu adalah dari sudut akidah, akhlak, ilmu pengetahuan, ekonomi dan social. Inilah kekuatan sebenar yang menjamin sesebuah bangsa dan negara mencapai tahap cemerlang, gemilang dan terbilang.
- Hits : 2546







