Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA(UPKK) Negeri Sabah 2011

Pada 13 Januari 2012 Y.B Dato’ Sri Haji Nasir Bin Tun Sakaran dalam ucapannya di Wisma MUIS, Kota Kinabalu memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah melalui Unit KAFA telah melaksanakan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) di seluruh Negeri Sabah bagi tahun 2011 iaitu pada 3 hingga 6 Oktober 2011. Mesyuarat Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran Dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) pada 9 Januari 2012 telah mengumumkan keputusan UPKK 2011.
 
Sehubungan itu, pencapaian keputusan peperiksaan UPKK 2011 bagi negeri Sabah pada tahun 2011; jumlah calon yang berdaftar ialah 5,475 orang. Namun jumlah calon yang hadir ialah 4,809 orang, seramai 666 orang calon yang mendaftar tidak menghadirkan diri untuk menduduki peperiksaan tersebut. Ini disebabkan kurangnya komitmen daripada ibu bapa dan pelajar sendiri. Perubahan kepada pelaksanaan sistem KAFA berdasarkan garis panduan 2011 yang melibatkan perubahan jadual sesi pembelajaran turut memberi kesan terhadap pelajar.
 
Secara keseluruhan, jumlah calon yang lulus pada tahun 2011 ialah 4,799 orang (99.9%) berbanding 4,117 orang (99.93%) bagi tahun 2010. Manakala jumlah calon yang mendapat gred A pada tahun 2011 ialah seramai 371 orang (7.7%) berbanding 277 (6.72%) pada tahun sebelumnya. Seramai 13 calon (0.3%) telah mendapat keputusan 8A berbanding 9 orang (0.22%) pada 2010 dan ini menunjukan sedikit peningkatan telah dicapai. Bagi calon yang mendapat keputusan 8D atau lulus tidak mencapai tahap ialah 5 orang (0.1%) berbanding tahun 2010 hanya 3 orang pada 2010.
 
Justeru itu, Y.B Dato’ Sri Haji Nasir Bin Tun Sakaran dalam ucapannya mengesyorkan beberapa langkah iaitu agar usaha penambahbaikan perlu dilakukan oleh JAKIM bagi meningkatkan prestasi keseluruhan pencapaian UPKK untuk meningkatkan kualiti pendidikan KAFA di negeri Sabah pada masa akan datang. Antaranya, meningkatkan tahap kesedaran ibu bapa dan masyarakat kepada pengukuhan pendidikan Islam, sistem pendidikan Islam di Sekolah Agama Rakyat perlu diselaraskan dengan sistem pendidikan KAFA agar pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif, latihan pengajaran dan pembelajaran perlu dilaksanakan secara konsisten dan berkala bagi melahirkan guru-guru KAFA yang terlatih seterusnya memberi impak kepada pencapaian prestasi KAFA di negeri Sabah. Seterusnya  pembentukan jawatankuasa KAFA daerah yang selaras dengan peraturan KAFA 2011 perlu dilaksanakan bagi membantu pelaksanaan program KAFA yang lebih berkesan kepada masyarakat. Pengerusi KAFA daerah yang dicadangkan ialah Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Daerah di negeri Sabah. Kewujudan Pejabat Perhubungan KAFA di daerah juga akan membantu melancarkan pengurusan KAFA. Oleh itu, semua pihak yang terlibat dengan KAFA perlu mematuhi Garis Panduan Pelaksanaan KAFA 2011 yang telah diluluskan oleh LEPAI dan telah diedarkan oleh JAKIM ke negeri-negeri.
 
Y.B menteri sangat berharap agar masyarakat Islam di negeri ini menitikberatkan aspek pendidikan anak-anak terutama Pendidikan Islam. Ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang seimbang di dunia dan akhirat. Para ibu bapa juga perlu  memberikan perhatian yang sewajarnya kepada Pendidikan Islam SAN, SAR dan KAFA.
 
 
 
Y.B menteri sedang mengumumkan keputusan UPKK 2011