Konvokesyen Pusat Latihan Dakwah Keningau Kali Ke 7

<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Pusat Latihan Dakwah Keningau (PLDK) telah mengadakan majlis konvokesyen kali ke 7 pada 9 September 2006 bertempat di Dewan Jubli Perak, PLDK. Konvokesyen ini diadakan sempena meraikan lepasan Sijil Pengajian Islam dan Dakwah yang telah menghabiskan tempoh pengajian mereka di PLDK. Sejumlah 145 orang lepasan telah menerima sijil mereka. Mereka yang menerima sijil tersebut terdiri dari 3 sesi pengajian yang menamatkan pengajian pada Jun 2005, Disember 2005 dan Jun 2006.

Sempena konvokesyen ini juga, PLDK dengan kerjasama Unit Dakwah, JAKIM Cawangan Sabah telah mengadakan Bengkel Pendakwah Harapan yang mengumpulkan seramai 200 orang lepasan PLDK dari tahun-tahun sebelumnya. Bengkel selama 3 hari ini bermula pada 6 – 8 Ogos 2006 telah membentangkan 2 kertas kerja utama yang bertajuk Persiapan Sebagai Dai’e dan Peranan Lepasan Pusat Latihan Dakwah Dalam Gerakan Dakwah. Selain itu perbincangan keras kerja telah diadakan dalam 2 bengkel berasingan. Kertas kerja telah disampaikan oleh pensyarah-pensyarah jemputan dari universiti tempatan.

Pada malam 8 September 2006, PLDk telah dipenuhi dengan kedatangan penduduk sekitar selain para pelajar dan lepasan PLDK yang bersama-sama memeriahkan Malam Kesenian Islam. Pada malam tersebut telah menampilkan penyanyi dan kumpulan nasyid jemputan. Diantara kumpulan nasyid yang dijemput ialah kumpulan nasyid Sautul Qaf dari Tawau yang ahlinya adalah terdiri dari guru-guru KAFA yang juga merupakan pelajar lepasan PLDK. Kumpulan ini diuruskan oleh Us. Amin Nasir, Penyelia KAFA daerah Tawau. Selain itu penyanyi nasyid yang tidak asing lagi iaitu Us. Nazri dari kumpulan Raihan telah lebih menyerikan malam tersebut yang mendapat sambutan hangat dari para penonton. Beliau telah menyampaikan lagu-lagu popular dari kumpulan Raihan.

Majlis Konvokesyen PLDK Kali Ke 7 telah disempurna dan dirasmikan oleh Y. Bhg. Dato’ Hj. Wan Muhamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM yang mewakili Y. Bhg. Dato’ Hj. Mustafa bin Abdul Rahman, Ketua Pengarah JAKIM. Dalam ucapan perasmiannya, Y. Bhg. Dato’ menekankan pentingnya lepasan PLDK menunjukkan komitmen mereka sebagai pendakwah yang cemerlang walau apa bidang yang akan diceburi oleh mereka apabila telah menceburkan diri dalam masyarakat. Islam adalah agama yang tinggi tetapi untuk mempastikannya tetap tinggi dan mulia maka manusialah yang akan melaksanakannya.

Beliau juga mengingatkan anak-anak lepasan PLDK seharusnya memelihara akhlak mereka dan menjadi contoh ikutan yang baik kerana penyatuan ilmu dan adab mampu menampilkan diri sebagai pendakwah yang boleh dicontohi dan menyelamatkan masyarakat.

Konvokesyen kali ini telah menampilkan Azhar bin Harron dan Leila binti Halil sebagai penerima anugerah khas Anugerah Ketua Pengarah sementara Abdul Latif bin Bangsawan dan Jumaisa binti Rusitim telah menerima Anugerah Pengarah. Seramai 18 orang lepasan pula telah menerima Anugerah Pengetua. Semua anugerah dan Sijil Pengajian Islam dan Dakwah telah disampaikan oleh Y. Bhg. Dato Hj. Wan Muhamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz.