Kumpulan Nasyid Negeri Sabah Unggul Pada Festival Nasyid Kebangsaan

<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Festival Nasyid Kebangsaan Ke-18 telah berlangsung dalam suasana meriah di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya pada 30 Disember 2007. Persembahan Nasyid bermula jam 8.30 malam itu telah dihadiri oleh Y.B. Dato’ Dr. Abdullah bin Md. Zin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan isteri, Y.Bhg. To’ Puan Wan Naimah binti Haji Wan Latif dengan diiringi oleh Y.Bhg. Tuan Haji Anan bin C.Mohd, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM dan isteri.

Festival Nasyid Kebangsaan (FNK) kali ini memperlihatkan kelainan dalam pemilihan johan dengan format baru iaitu undian orang ramai sebanyak 30% dan juri hakim sebanyak 70%. Saringan 28 kumpulan telah diadakan pada 7 Jun 2007 bagi mencari 10 kumpulan nasyid. Persembahan 10 kumpulan ini kemudiannya disiarkan melalui RTM1 mulai 21 Oktober hingga 25 November 2007 setiap Ahad, jam 6.30 petang selama 6 minggu berturut-turut. Orang ramai telah dipelawa membuat undian melalui sms, emel, laman web rasmi JAKIM atau borang undian di akhbar rasmi FNK.

Enam kumpulan yang terpilih telah mempersembahkan nyanyian masing-masing pada malam Festival yang dihakimi oleh 10 orang jemaah hakim melalui lima bidang iaitu mutu suara, gubahan, lagu dan ciptaan, lirik dan persembahan.

Johan FNK Kategori Lagu Nasyid tradisi dimenangi oleh Soutul Hadhari dari Negeri Sabah manakala Johan kategori Lagu Nasyid Moden dimenangi oleh Isbat dari Negeri Sabah. Johan menerima wang tunai RM8 ribu, piala iringan, sijil penghargaan dan cenderahati, manakala hadiah saguhati menerima wang tunai RM 5 ribu, piala iringan, sijil penghargaan dan cenderahati diterima oleh Kumpulan Wardah dari Negeri Pahang, Rawiyani dari Negeri Selangor, Az-Zamrud dari Negeri Sarawak dan Shautul Furqan dari Negeri Sarawak.

Penulis Lirik Terbaik Kategori Nasyid Tradisi dimenangi oleh Kumpulan Shautul Furqan dan bagi kategori Nasyid Moden dimenangi oleh Isbat. Pencipta Lagu Terbaik Kategori Nasyid Tradisi dimenangi oleh Kumpulan Isbat dan bagi kategori Nasyid Moden dimenangi oleh Shautul Hadhari.Persembahan terbaik pula dirangkul oleh Kumpulan Isbat.

Dewan Perdana, PICC dibanjiri oleh seramai lebih 2000 orang sejak jam 7.30 malam, dipersembahkan dengan nyanyian kumpulan Hijjaz, Far East, Shifa’, Husna dan lain-lain lagi.Festival Nasyid ini juga turut dimeriahkan dengan Anugerah Nasyid Minggu Ini (NMI).