Kunjung Hormat: SUP Sabah Melawat Ibu Pejabat Jakim Sabah
Pada hari rabu bersamaan dengan 19 September 2012, ibu pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Cawangan Sabah telah menerima kunjung hormat dari Setiausaha Persekutuan Sabah yang baru, Dato Abu Bakar bin Hassan. Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah pengarah Jakim Cawangan Sabah sendiri iaitu Tuan Haji Ahmad Zaki Bin Haji Arsad, para Pengetua Pusat Latihan serta ketua-ketua unit di ibu pejabat Jakim Cawangan Sabah.
Majlis yang bermula pada pukul 2.30 petang itu telah telah mengambil masa selama 2 jam. Acara pertama dalam kunjung hormat tersebut ialah kata-kata aluan dari Pengarah Jakim, diikuti dengan sesi taaruf dari Pengarah sendiri, seterusnya para Penolong Pengarah dan Pengetua-pengetua Pusat Latihan, Jakim Cawangan Sabah. Al-fadhil Ustaz Ahmad Zaki memulakan mukaddimah pertemuan itu dengan memberikan penerangan secara ringkas tentang sejarah penubuhan jabatan ini kepada Dato SUP. Seterusnya, sesi taklimat yang lebih terperinci telah dibentangkan ketua unit Penerbitan dan Perhubungan Awam, Jakim Sabah.
Datuk Abu Bakar yang dalam perancangan untuk berkunjung ke seluruh jabatan persekutuan Sabah itu telah dimaklumkan dengan jelas mengenai kedudukan peruntukan, perjawatan, fungsi serta senarai program yang telah dan akan dianjurkan oleh keseluruhan unit dan pusat latihan jabatan ini. Selain itu, sedikit informasi tentang pemberhentian projek pusat latihan di Tongod dan beberapa aduan permasalahan yang berlaku di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah ini turut dimaklumkan dan ia mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak Yang Berbahagia Dato.
Walaupun sesi kunjung hormat itu berlangsung secara ringkas dan singkat, namun ia sangat bermanfaat kerana sepanjang sesi tersebut Dato Setiausaha Persekutuan Sabah sendiri telah memberikan beberapa cadangan dan komentar membina tentang beberapa isu yang mana ianya boleh dijadikan garis panduan untuk memperbaiki dan memantapkan lagi mutu, persembahan dan kualiti kerja khususnya di Jakim itu sendiri.





Tarikh:
Sep 21, 2012   Groups:
- Hits : 1326







