Kunjung Hormat : USIA Dan Brunei Ke Jakim Sabah

 
Dalam masa 3 hari, jabatan ini telah menerima 2 kunjung hormat dari dua buah agensi yang berbeza termasuk dari Negara Brunei Darussalam. Pada 11 Jun 2012 yang lepas, hampir 15 orang wakil dari Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) telah melakukan kunjung hormat ke Jakim Cawangan Sabah. Ia telah diketuai oleh Tuan Haji Lamsil Hamidsor, Naib Yang Dipertua / Ketua Bahagian USIA Bahagian Kota Belud, Sabah.
 
Objektif lawatan itu adalah untuk berdiskusi mengenai pelaksanaan program yang boleh dijalankan secara “smart partnership” antara USIA bersama Jakim. Perbincangan banyak berkisarkan mengenai program bagi memperkasakan golongan belia dan institusi masjid.
 
Seterusnya, seramai 18 orang yang terdiri daripada pegawai Pusat Dakwah Islamiah, Ketua-ketua daerah dan ahli-ahli persatuan saudara baru (Nur Islam dan Sinar Islam) Negara Brunei Darussalam pula telah melawat ke jabatan ini pada 13 Jun 2012. Lawatan yang diketuai oleh Ustaz Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar, Ketua Bahagian Pengislaman dan Pemuliharaan Muallaf, Negara Brunei Darussalam itu telah berlangsung selama 3 jam. Hasilnya, pelbagai idea dan cadangan yang menarik telah diperolehi bagi merencanakan program berkesan kepada kumpulan sasar, Saudara Baru di kedua-dua buah negara.
 
Selain tayangan video aktiviti 2012, Jakim Cawangan Sabah yang dipimpin oleh Pengarahnya, Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad turut memberi penerangan sewajarnya dan menjawab segala persoalan yang diutarakan oleh ahli rombongan yang hadir mengenai jabatan ini. Seterusnya, sesi perkongsian ilmu dan pengalaman berkhidmat di negeri Sarawak dan Sabah oleh Ustaz Ahmad Zaki sendiri telah menyuntik maklumat dan motivasi segar kepada ahli rombongan mengenai metod, intipati dan perjalanan dakwah di bumi borneo ini. Kedua-dua sesi kunjung hormat berkenaan telah disudahi dengan penyampaian cenderahati dan sesi bergambar kenangan.
 
 
Haji Lamsil Hamidsor membentangkan cadangan program kerjasama USIA - Jakim
 
 
Sesi perbincangan bersama Jakim Sabah - USIA Bahagian Kota Belud
 
 
Sesi penyampaian cenderahati kepada USIA Kota Belud
 
 
Ustaz Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar, Ketua Bahagian Pengislaman & Pemuliharaan Muallaf,
Negara Brunei Darussalam
 
 
Rombongan dari Brunei menonton tayangan aktiviti Jakim Sabah 2012 dengan penuh minat
 
 
Sesi perbincangan bersama rombongan dari Negara Brunei Darussalam
 
 
Sesi bergambar kenangan
 
 
 
Groups: