Kursus Imam dan Bilal Putrajaya 2012
Kursus ini ini telah diadakan pada tanggal 23 dan 24 Jun 2012 bertempat di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya yang telah dihadiri seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada Imam, Bilal dan Ahli Jawatankuasa masjid dan surau sekitar Putrajaya serta perseorangan. Penyertaan yang memberangsangkan ini adalah hasil usaha dan sokongan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) Cawangan Putrajaya serta keprihatinan masyarakat kini dalam menambah informasi dan perkongsian maklumat (knowledge sharing) yang pintar dalam usaha memantapkan diri dari sudut ilmu pengetahuan demi melahirkan Imam dan Bilal serta Ahli Jawatankuasa yang berwibawa demi mewujudkan pengurusan dan aktiviti pengimarahan masjid berjalan dengan jayanya.
Objektif kursus tersebut telah dicapai dengan ulasan dan kupasan serta latihan yang dipimpin oleh penceramah dan fasilitator jemputan yang hebat lagi dinamik iaitu YBhg Dr. Mohd Sukki bin Othman, Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia, YBhg Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman, Pensyarah KIAS, Ustaz Zul Rushdi bin Salleh dan Ustaz Mohd Hidhir bin Abdul Rased dari Masjid Putra, Ustaz Ehsan bin Mohd Hosni dari Masjid Negara, Ustaz Fairus Shauqi bin Elias dari Sek. Keb. Presint 14 Putrajaya dan Ustaz Azmi bin Ismail dari Bahagian Penerbitan JAKIM. Sebanyak 2 sesi ceramah dan 3 sesi latihan dalam kumpulan (LDK) telah berjaya dikupas dan dibincangkan bersama oleh panel penceramah dan fasilitator iaitu :
i. Ahkam Imam dan Bilal ;
ii. Kepimpinan Imam dan Bilal Dalam Masyarakat
iii. LDK 1: Ice Breaking
iv. LDK 2: Bacaan Dalam Solat Serta Azan dan Iqamah
v. LDK 3: Bacaan Doa dan Tahlil Rasmi
Antara objektif kursus ini ialah bagi melahirkan Imam dan Bilal yang berwibawa dalam mengimarahkan masjid dan surau, meningkatkan pengetahuan tentang peranan imam dan bilal dalam solat berjemaah serta hukum-hukum berkaitan dengannya serta melahirkan Imam dan Bilal yang berilmu pengetahuan khususnya berkaitan kepimpinan dan urusan kemasyarakatan dalam kehidupan.
Diharapkan para peserta kursus telah mendapat manfaat dan kefahaman yang jelas menerusi ceramah dan sesi latihan dalam kumpulan yang telah disampaikan. Pihak masjid amat berbesar hati dan mengalukan semua ahli jawatankuasa masjid, surau serta masyarakat di Putrajaya untuk terus memberi sokongan dalam menyertai program yang dirancang oleh Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, JAKIM pada masa hadapan.







- Hits : 1656







