Kursus Penggubalan Soalan KAFA Siri 1/2012

Oleh : Saiful Khair Bin Mohd Sampon
 
JAKIM Cawangan Sabah melalui Unit KAFA telah menganjurkan Kursus Penggubalan Soalan KAFA Siri 1 / 2012 pada 21 – 23 Mac 2012 bertempat di Pusat Latihan Islam Lahad Datu. Seramai 30 orang peserta terdiri daripada Penyelia dan Guru KAFA dari 10 daerah Bahagian Pantai Timur Sabah telah menghadiri kursus tersebut.
 
Kursus yang pertama kali dianjurkan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik dan kaedah penggubalan soalan, memberi kefahaman kepada peserta tentang aspek penggubalan soalan khusus mengikut subjek dan sukatan KAFA serta memberi maklumat kepada peserta tentang penilaian soalan, pemberian markah serta penyemakan jawapan. Kursus ini dirancang hasil daripada penetapan KPI KAFA Sabah yang mensasarkan seramai 500 orang calon UPKK mendapat keputusan 8A pada tahun 2012. Sehubungan itu, bermula tahun ini KAFA Sabah akan menyelaras penggubalan semua soalan peperiksaan semester dan percubaan KAFA bagi melaksanakan sistem peperiksaan semester dan ujian percubaan UPKK 2012 di seluruh negeri.
 
JAKIM Cawangan Sabah telah menjemput dua orang penceramah untuk menjayakan pelaksanaan kursus ini. Mereka ialah Ustaz Kamarulzaman b. Ideres, pensyarah JAPIM, Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau dan Ustaz Yusri b. Yusof, guru Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Sains, Lahad Datu. Mereka telah membentang enam kertas kerja dan mengendalikan sesi bengkel yang diadakan.
 
Perasmian penangguhan kursus ini telah disempurnakan oleh Ustaz Syed Abdullah al-Jufri, Pengetua Pusat Latihan Islam Lahad Datu mewakili Pengarah, JAKIM Cawangan Sabah. Dalam ucapannya beliau menasihatkan agar semua peserta dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran berkaitan penggubalan soalan yang diperolehi dalam kursus ini selaras dengan keadaan semasa yang mementingkan kualiti dalam program yang dilaksanakan. Peserta juga digalakkan untuk berkongsi pengetahuan yang ada kepada rakan sejawat Guru KAFA yang lain bagi memastikan pelaksanaan KAFA di Sabah tahun ini mencapai sasaran yang ditetapkan.
 
 
Peserta sedang mengikuti kuliah 
 
 
Sesi bengkel yang dijalankan 
 
 
Us. Yusri (kanan) menilai pembentangan bengkel 
 
 
Us. Kamarulzaman (kiri) menerima cenderamata daripada wakil peserta 
 
 
Us. Yusri (kiri) menerima cenderamata daripada wakil peserta 
 
 
Us. Syed Abdullah al-Jufri menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian 
 
 
Pengetua PLI Lahad Datu menyampaikan sijil kepada wakil peserta