Kursus Tahsinul Qiraat Tingkat Profesionalisma Imam

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Kursus Profesionalisma Imam: Tahsinul Quran Wal Qiraat, pada 12 - 18 Mei 2006 di ILIM, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Seramai 38 orang peserta terdiri daripada Pegawai-pegawai Hal Ehwal Islam yang bertugas sebagai imam di masjid-masjid di seluruh negeri dan pusat-pusat latihan di bawah JAKIM dan JAIN telah hadir.

Kursus ini diadakan bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran pembacaan al-Quran imam-imam, di samping meningkatkan keyakinan diri untuk menjadi seorang imam yang berwibawa dan disegani masyarakat.

Antara kandungan yang dibincangkan di dalam kursus ini adalah pengenalan kepada ilmu qiraat, tajwid dan taranum, sejarah pembahagian taranum di kalangan ulama al-Quran, kaedah pembacaan yang diamalkan di Malaysia dan Asia tenggara serta klinik al-Quran.

Diharap kursus yang diadakan ini berjaya melahirkan imam yang profesional dan terbaik dalam mengetuai masjid dan masyarakat di sesebuah negeri. ILIM juga mengharapkan agar lebih ramai lagi imam-imam dari masjid-masjid dan pusat latihan seluruh negeri, dapat menghadiri kursus ini pada masa akan datang.