Lahirkan Kesyukuranmu Tunaikan Hak Anakmu

Lahirkan Kesyukuranmu Tunaikan Hak Anakmu
 
 
Antara hak seorang seorang anak yang perlu dipenuhi oleh ibu bapa ialah dilakukan aqiqah untuk dirinya. Aqiqah mengikut pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh  Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu  terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, al-Termizi dan Ibnu Majah)
Kini aqiqah telah menjadi satu amalan kemestian yang perlu dilaksanakan tetapi masih dalam bentuk persendirian yang memerlukan masa dan komitmen untuk menguruskannya. Justeru Unit Ibadah & Dakwah Cawangan Pengimarahan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sekali lagi telah menganjurkan satu Program Aqiqah Perdana bagi memberi kemudahan kepada mereka yang tidak sempat untuk menguruskannya secara bersendirian di samping mengimarahkan masjid serta merapatkan hubungan para jemaah.
Masih bertemakan “Lahirkan Kasyukuranmu, Tunaikan Hak Anakmu”  Program Aqiqah Perdana 2011 tersebut telah berjaya dilaksanakan pada 7 Julai hari Sabtu yang  lalu bertempat di perkarangan halaman taman Anjung A. Program yang bermula jam 8.00 pagi telah dihadiri seramai 200 orang yang terdiri dari pegawai & kakitangan masjid, para peserta program, para jemaah, Persatuan Selera Duta dan Aliah Katerer yang bersama-sama bergotong-royong menjayakan program tersebut. Sebanyak 15 ekor kambing dan 1 ekor lembu telah dikorbankan dan dagingnya telah dimasak sepenuhnya untuk dua sesi jamuan (siang & malam)  kepada 500 jemaah masjid dan tetamu yang hadir. 
Turut hadir pada program tersebut Y. Bhg. Imam Besar MWP, Tuan Haji Zakariah bin Isa.  Majlis ditangguhkan pada tengahari tersebut dengan ucapan penghargaan dari Pengarah Program, Us. Mohammad Ashraf bin  Ibrahim serta bacaan doa. Harapan Masjid Wilayah agar program yang kali kedua diadakan ini dapat dilaksanakan pada setiap tahun dengan mendapat kerjasama yang erat dari semua pihak.