Laporan Majlis Penyerahan Peserta 'ADIK-ADIKKU' Musim ke 4 & Aktiviti

LAPORAN MAJLIS PENYERAHAN PESERTA ADIK-ADIKKU MUSIM KE-4 & AKTIVITI
 
      Baru-baru ini perasmian Rancangan Realiti Tv Adik-Adikku musim yang ke- 4 telah diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi. Majlis perasmian yang juga merupakan hari penyerahan kesemua 12 orang peserta Adik-Adikku musim baru itu juga telah dihadiri oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Othman b. Mustapha yang juga merupakan Ketua Pengarah Jakim. Majlis juga turut dihadiri oleh beberapa orang tetamu kehormat antaranya Yang Berbahagia Tuan Haji Razali  Shahabudin, TKP (PI) Jakim, Tuan Haji Che Mat Hussein, Pengarah Radio RTM dan Tuan Haji Wan Bukhari Wan Daud, Pengarah Berita RTM.
 
      Seramai 3 orang Murabbi telah diperkenalkan semasa Majlis Penyerahan tersebut diadakan, antaranya Ustaz Mohd Zarifi Mohd Daud  (Murabbi Adik-Adikku Musim ke-3, Ustaz Hizburrahman (Naib Juara Imam Muda musim pertama), Ustazah Fatimah Syarha Mohd Nordin, Pensyarah dari UIAM yang juga merupakan seorang novelis terkenal tanah air. Turut diperkenalkan dalam majlis tersebut ialah Us Ahmad Shukri Yusuf selaku Raes Adik-Adikku musim yang ke – 4.
 
     Para peserta Adik-Adikku musim ke-4 telah memulakan aktiviti pertama mereka pada 26 November 2012 yang lepas apabila telah dibawa melawat ke Darul Quran yang terletak di Kuala Kubu Baru,Selangor. Lawatan diadakan selama dua hari di sana dan banyak aktiviti-aktiviti menarik telah diadakan di sana atas kerjasama daripada pihak Darul Quran sendiri.
 
      Perjalanan ke sana yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan itu telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Nabil Ahmad, serta disambut mesra oleh pihak Darul Quran setibanya di sana. Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan daripada pihak darul quran yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Bakri Hashim , Penolong Pengarah Perhubungan Awam DQ.
 
     Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa kesemua 12 orang peserta adik-adikku musim baru di sana ialah nasyid, pecahkan belon menggunakan balingan dat, ice-breaking, explorace dan banyak lagi. Ternyata kesemua aktiviti yang telah dijalankan oleh pelajar-pelajar DQ yang juga merupakan fasililitator terlatih adalah bertujuan melatih keyakinan diri dalam setiap daripada peserta-peserta adik-adikku.
 
      Rakaman untuk Rancangan Realiti Tv Adik-Adikku Musim yang ke – 4 akan bermula pada 2 Disember 2012 bertempat di Dewan Dato’ Shahir ILIM, Bangi. Kesemua kakitangan Jakim dijemput hadir bagi memeriahkan program serta memberikan sokongan kepada peserta adik-adikku musim baru ini. Sehubungan itu rakaman adik-adikku musim ke-4 ini akan diadakan selama empat kali berturut-turut iaitu pada 2,9,16, dan 23 Disember 2012. Rakaman pertandingan tersebut akan menampilkan peserta-peserta yang mempunyai kekuatan persembahan masing-masing, dan anda semua dijemput hadir bagi menyaksikan kelainan yang bakal dipamerkan pada musim baru ini.
 
Adik-Adikku InsyaAllah boleh !!!
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Sumbangan Gambar Oleh:
RIzal Unit PRO
Tarikh: 
Dec 18, 2012