Lawatan Mahabbah Ramadhan dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri PPUKM
Cheras, Kuala Lumpur - Masjid Negara telah menganjurkan Program Lawatan Mahabbah Ramadhan dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Pesakit-Pesakit di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu, 1 Ogos 2012M bersamaan 12 Ramadhan 1433H bermula jam 10.00 pagi. Bersesuaian dengan Bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, ianya merupakan salah satu program kebajikan di luar Masjid Negara dan ianya merupakan program tahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir di Hospital-Hospital di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Program ini dihadiri oleh Imam Besar Masjid Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad disertai oleh Pegawai serta kaki tangan Masjid Negara seramai 20 orang. Turut serta dalam Program Lawatan ini ialah YBhg. Prof. Madya Dr. Noorazah binti Abd. Aziz, Ketua Unit Jaringan Industri dan Masyarakat (UJIM) mewakili Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Sumbangan berupa hamper, wang tunai dan risalah mengenai Islam telah diedarkan kepada pesakit-pesakit di dua (2) wad terpilih iaitu Wad Pediatrik (4A) dan Wad Surgeri (5B), PPUKM, Cheras, Kuala Lumpur.
Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kaki tangan Masjid Negara dengan kaki tangan PPUKM di samping dapat memupuk budaya bersedekah di kalangan masyarakat bersempena bulan Ramadhan Al Mubarak yang mulia ini. Ianya juga dapat memberi sedikit sinar keceriaan kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di Pusat Perubatan tersebut dengan adanya program lawatan sebegini.
Di harap program sebegini akan sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada orang ramai demi untuk terus mengimarahkan Masjid sebagai institusi untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama Islam selain melakukan amalan-amalan yang sedia menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia khasnya dan di dunia amnya.
Disediakan oleh:
UNIT PERHUBUNGAN AWAM DAN PUSAT SUMBER,
MASJID NEGARA, JAKIM
- Hits : 1095







