Majlis Jamuan Hari Raya Masjid Negara Disambut Meriah

Jalan Perdana, Kuala Lumpur - Masjid Negara telah menganjurkan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 1433H / 2012M di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara, Jalan Perdana, Kuala Lumpur pada Khamis, 13 September 2012 bersamaan 26 Syawal 1433H bermula jam 11.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari. Bersesuaian dengan Bulan Syawal yang akan berakhir beberapa hari lagi, ianya merupakan salah satu program tahunan Masjid Negara untuk mengeratkan silaturrahim di antara pegawai dan kakitangan Masjid Negara dengan semua para jemputan yang hadir tidak mengira bangsa, agama mahupun budaya.

 

Program ini dirasmikan oleh Imam Besar Masjid Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad dan dihadiri hampir 1,000 orang tetamu dari sekitar kawasan Masjid Negara dan juga tetamu-tetamu khas yang di jemput untuk memeriahkan lagi Majlis Jamuan tersebut. Ini termasuklah para pelancong yang melawat Masjid Negara, serta tetamu-tetamu yang datang dari pelbagai bangsa mahupun agama. Ini dapat memupuk semangat muhibah dan sesuai dengan saranan dan konsep yang diketengahkan oleh YAB. Perdana Menteri Malaysia kini iaitu konsep 1 Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

 

Dalam ucapan perasmian, YBhg. Tan Sri Imam Besar Masjid Negara menyatakan bahawa Majlis ini dapat memberi peluang seluas-luasnya kepada semua warga kerja Masjid Negara dan juga para tetamu yang hadir untuk merapatkan silaturrahim dan lebih mengenali antara satu sama lain terutamanya yang bertugas di sekitar dengan kawasan Masjid Negara. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Media Massa yang berperanan untuk memberikan liputan dan publisiti kepada Masjid Negara untuk menjadi Masjid yang terulung dan terunggul di Negara ini.

 

Majlis ini juga turut diserikan dengan persembahan Qasidah oleh Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran wal Hadith, Taman Permata, Hulu Klang, Selangor.

 

Disediakan oleh:

UNIT PERHUBUNGAN AWAM DAN PUSAT SUMBER
MASJID NEGARA, JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

Tarikh: 
Sep 13, 2012