Majlis Pelancaran Program Semarak Ramadhan Peringkat Negeri Sabah

 
Kota Kinabalu – Kedudukan strategik Lintasan Deasoka, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di tengah bandar itu telah menjadi lokasi pilihan pihak penganjur iaitu Jakim Cawangan Sabah bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk melancarkan Program Semarak Ramadhan Peringkat Negeri Sabah 1433H/2012M dan Hari Bertemu Pelanggan Agensi Islam Sabah. Program yang berlangsung beberapa hari sahaja sebelum ketibaan Ramadhan itu telah mendapat kerjasama erat dari pelbagai agensi Islam di Sabah, Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah.
 
Objektif program ini ialah untuk mempromosikan program-program yang dirangka khas di sepanjang bulan Ramadhan tahun ini dan memperkukuhkan semangat kerjasama yang telah sedia ada antara agensi berkenaan melalui pendekatan dakwah bil hal serta member penjelasan berkaitan fungsi dan tugas agensi terlibat kepada masyarakat melalui program Hari Bertemu Pelanggan.
 
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Panglima Yahya bin Hussin, Timbalan Ketua menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Haji Amri A. Suratman, Pengarah JHEAINS, Y.Bhg. Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah Jakim Cawangan Sabah, ketua-ketua jabatan, pimpinan agensi Islam Sabah dan NGO Islam Sabah.
 
Antara acara yang diadakan pada majlis berkenaan ialah pameran, pemeriksaan kesihatan, kuiz Ramadhan, pengenalan para imam muda, eksplorasi Ramadhan, tazkirah dhuha, edaran takwim dan risalah Ramadhan, persembahan kesenian Islam dan penyampaian sumbangan kepada saudara kita.
 
Senarai program yang dilancarkan sepanjang Ramadhan 1433H termasuklah Forum Ambang Ramadhan, Malam-malam Ramadhan di Sabah fm, Ihya Ramadhan yang akan diadakan di pedalaman Sabah, Program Tadarus Al-Quran, Program Gerak Gempur Ramadhan, Ceramah dan Tazkirah Ramadhan, Program Imam Muda, Majlis Berbuka Puasa Bersama Saudara Kita dan Anak Yatim, Istiqbal Nuzul Al-Quran, Edaran Bubur Lambuk, Taqarrub Ramadhan dan Ziarah Ramadhan.
 
 
Ucapan perasmian oleh YB. Datuk Seri Yahya Hussin
 
 
 
 
 
Tarikh: 
Jul 31, 2012  
Groups: