Majlis Ramah Mesra Dan Berbuka Puasa Bersama Saudara Muslim 2012

Bangi - 28 Julai 2012, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan diurusetiakan oleh Bahagian Dakwah telah mengadakan Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa Bersama Saudara Muslim 2012 bertempat di Restoran Mohd Chan Abdullah, Bangi. Majlis ini telah berjaya menghimpunkan seramai 200 orang Saudara Muslim daripada pelbagai bangsa terutamanya daripada bangsa Cina, India dan dari kalangan Masyarakat Orang Asli yang telah memeluk agama Islam. Tidak ketinggalan, ahli keluarga dan sahabat handai yang masih belum memeluk Islam turut diundang dan berada bersama-sama dalam majlis ini.

Majlis dimulakan dengan Tazkirah yang disampaikan oleh YBhg. Ustaz Ismail Hashim bin Junaidi, Penolong Pengarah Kanan, JAKIM bertajuk "Ramadhan Anugerah Tuhan".Seterusnya, Majlis Perasmian bermula dengan ucapan aluan oleh YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Dalam ucapannya, beliau merakamkan jutaan terima kasih khususnya kepada wakil-wakil NGO's yang berkaitan Saudara Muslim seperti PERKIM, MACMA, PERTIM, YKNS, GEPIMA, PERMIM, Pertubuhan Al-Ansar,Asrama Darul Falah (ASDAF) yang telah bekerjasama rapat dengan JAKIM dalam menjayakan majlis ini   

Seterusnya ucapan perasmian yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato' Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.Beliau dalam ucapannya banyak menekankan tentang keberkatan bulan Ramadhan dan betapa pentingnya umat Islam khususnya Saudara Muslim untuk menjalani Ibadah Ramadhan kali ini dengan tekad dan azam yang berkobar-kobar untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan daripada Yayasan Taqwa yang telah disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Ahmad Ayob bin Haji Ibrahim, Pengurus Besar Yayasan Taqwa.Sejurus kemudian, azan Maghrib berkumandang diikuti dengan acara berbuka puasa secara beramai-ramai, solat Maghrib, solat Isyak dan seterusnya solat sunat Tarawikh secara berjemaah.

Majlis turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama dalam menjayakan majlis ini khususnya kepada YBhg Dato Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM serta keluarga, YBhg Tuan Haji Razali bin Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan serta keluarga, YBhg Dato' Haji Mustapha Ma, Presiden MACMA, YBhg Tuan Haji Ahmad Ayob bin Haji Ibrahim, Pengurus Besar Yayasan Taqwa, YBhg Tuan Haji Mohd Chan bin Abdullah, Pemilik Restoran Mohd Chan dan seterusnya kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.  

 
YBhg. Ustaz Ismail Hashim bin Junaidi menyampaikan tazkirah bertajuk "Ramadhan Anugerah Tuhan"
 
 
YBhg. Tuan Haji Razali bin Shahabuddin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, JAKIM sedang menyampaikan ucapan aluan
 
 
YBhg. Dato' Haji Othman bin Mustapha. Ketua Pengarah JAKIM sedang menyampaikan ucapan perasmian
 
 
Sumbangan daripa Yayasan Taqwa telah disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Ahmad Ayob bin Haji Ibrahim, Pengurus Besar Yayasan Taqwa
 
 
Penyampaian cenderamata oleh YBhg Dato' Ketua Pengarah JAKIM kepada Pemilik Restoran Tuan Haji Mohd Chan bin Abdullah.
 
 
Saudara Muslim daripada pelbagai bangsa duduk bersama-sama menunggu untuk berbuka bersama-sama
 
 
 
Ahli keluarga dan sahabat handai Saudara Muslim yang belum memeluk Islam turut memeriahkan dan meraikan Majlis Berbuka Puasa ini.
 
 
 
Pihak media yang turut sama menjayakan majlis ini.Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih diberikan
Tarikh: 
Jul 28, 2012