Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1433H Jabatan Perdana Menteri 2012 Disambut Meriah
Putrajaya,05 September 2012 – Jabatan Perdana Menteri sekali lagi telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya pada tahun ini bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya.
Majlis yang bertemakan “Serumpun Kemesraan, Seikat Perpaduan, Semarakkan Lebaran” ini dihadiri oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Bin Hj. Mohd Yassin Timbalan Perdana Menteri dan Dato’ Sri Dr. Ali Bin Hamsa, Ketua Setiausaha Negara serta ahli Jemaah Menteri dan warga kerja Jabatan / Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato' Hj. Othman Bin Mustapha turut meluangkan masa menghadiri majlis ini dan berkesempatan beramah mesra dengan warga JAKIM ketika melawat gerai JAKIM.
Majlis ini dimeriahkan lagi dengan pertandingan gerai terbaik mengikut kreativiti dan keceriaan gerai tersebut. Gerai terbaik dimenangi oleh Gerai Kambing Panggang yang diketuai oleh Pejabat YAB Perdana Menteri, tempat kedua oleh Gerai Makanan yang diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan tempat ketiga oleh Gerai Buah-buahan yang diketuai oleh Lembaga Tabung Haji.
Majlis bermula pada jam 12.00 tengahari itu telah berakhir jam 2.00 petang dengan kehadiran yang dianggarkan sehingga 5000 orang.







Tarikh:
Sep 05, 2012   - Hits : 2083







