Malaysia Gondol Johan Dan Naib Johan Musabaqah Hafazan Al-Quran Dan Hadis Peringkat ASEAN

12 orang peserta hafazan Malaysia telah berjaya menampilkan prestasi cemerlang pada Musabaqah Hafalan Al-Quran Dan Hadis Pengeran Sultan Abdul Aziz Alu Su'ud, Peringkat ASEAN Tahun 2008 Kali-1 yang telah berlangsung pada 20 - 25 Julai 2008 di Asrama Haji, Pondok Gede, Jakarta, Indonesia.

Musabaqah kali pertama ini telah dianjurkan oleh Kedutaan Besar Arab Saudi di Jakarta dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Islam Indonesia.

Malaysia telah dibarisi oleh para pemenang Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 2008 yang terdiri daripada Mohd. Arif bin Musa, Muhamad Za'imuddin bin Hashim, Mohd. Zuwairi bin Mohd. Yusof, Muhamad Syazwan bin Johal, Muhammad Auf bin Norzan Shah, Sa'id Hawwa bin Elias, Mohamad Fida'iy bin Zainal Abidin, Ahmad Nasaae bin Haji Kamarul Baharin, Mohammad Hariz Syazwan bin Mohd. Ariffin, Amirul Faiz bin Mansor, Khairul Anuar bin Mohd. Dahnan dan Rafrizal bin Abu Bakar.

Musabaqah yang menerima penyertaan dari 10 buah negara ini terbahagi kepada 5 kategori pertandingan iaitu hafazan 30 juzuk, hafazan 20 juzuk, hafazan 15 juzuk, hafazan 10 juzuk dan hafazan hadis.

Para peserta Musabaqah telah diraikan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Presiden Republik Indonesia melalui majlis khas yang telah diadakan pada 23 Julai 2008.

Mohammad Hariz Syazwan bin Mohd. Ariffin telah berjaya merangkul tempat pertama bagi kategori 15 juzuk dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah SAR6000.00 dan USD3000.00.

Mohammad Fida'iy bin Zainal Abidin berjaya memenangi tempat kedua bagi kategori yang sama dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah SAR5500.00 dan USD3000.00.

Kegembiraan Malaysia bertambah apabila Sa'id Hawwa bin Elias berjaya menggondol tempat ketiga bagi kategori 20 juzuk dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah SAR8000.00 dan USD3000.00.

Malaysia turut berbangga apabila pihak penganjur memberikan penghormatan khas dengan menjemput Mohammad Hariz Syazwan bin Mohd. Ariffin untuk memperdengarkan bacaan pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Makan Malam.

Para peserta Musabaqah turut diberikan wang saguhati berjumlah USD100.00 setiap seorang.

JAKIM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua peserta yang telah berjaya menampilkan pencapaian cemerlang pada Musabaqah Hafalan al-Quran dan Hadis Pengeran Sultan Abdul Aziz Alu Su'ud Peringkat ASEAN Tahun 2008 Kali-1.

Para peserta bergambar di KLIA sebelum berlepas ke Jakarta, Indonesia pada 20 Julai 2008

Para peserta tersenyum bangga sebelum berlepas pulang dari Jakarta ke KLIA

Majlis Perasmian Musabaqah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Departemen Agama Indonesia

Gambar kenangan para peserta berlatar belakangkan Istana Negara Jakarta

Mohamad Hariz Syazwan bin Mohd. Ariffin, johan kategori 15 juzuk sedang mendengar dengan teliti para hakim mengajukan soalan hafazan

Mohammad Fida'iy bin Zainal Abidin berjaya menambat hati para hakim dengan memenangi tempat kedua bagi kategori 15 juzuk

Sa'id Hawwa bin Elias, pemenang tempat ke-3 kategori 20 juzuk sedang memperdengarkan bacaan

Para peserta bergambar kenangan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta