Malaysia Terima Transit 16 Pelajar Kemboja Dari Mesir

           
8 Februari 2011, bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seramai 16 orang pelajar Kemboja dari pelbagai jurusan yang belajar di Mesir telah dibawa pulang ke Malaysia untuk satu tempoh transit yang sementara. Kesemua jumlah pelajar Kemboja tersebut telah dibawa pulang ke Malaysia dengan penerbangan dari Kaherah melalui Bahrain sebelum berlepas ke Malaysia dan selamat tiba pada jam 10.30 pagi.
 
Pembiayaan penerbangan para pelajar berkenaan adalah dengan ihsan dan tajaan dermawan melalui Yayasan POK & Kassim yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim. JAKIM sebagai salah sebuah agensi kerajaan turut berperanan menyediakan tempat penginapan di ILIM termasuk makan minum dan pengangkutan pelajar-pelajar ini sebelum masing-masing pulang ke tanah air. Ketua Pengarah Jakim; Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz ketika menunggu dan menyambut kepulangan pelajar-pelajar ini memaklumkan kepada pemberita yang hadir bahawa beliau telah dihubungi oleh Menteri Kemboja; YB Othman Hasan agar kerajaan Malaysia dapat menghulurkan bantuan bagi membawa pulang pelajar-pelajar berkenaan.
 
            Terdahulu Jakim dalam Kenyataan Ketua Pengarah pada 6 Februari 2011 telah menawarkan khidmat untuk bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memberi peluang kepada para pelajar yang pulang dari Mesir serta keluarga yang menunggu kepulangan anak mereka untuk menginap atau transit di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.
 
            Rata-rata pelajar Kemboja tersebut menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas kesudian membawa pulang dan menerima kehadiran mereka untuk transit di ILIM, Bangi. Kesemua pelajar ini dijangka akan meneruskan perjalanan mereka ke tanah air mereka iaitu Kemboja dalam masa yang terdekat. Walau bagaimanapun, para pelajar Kemboja ini masih mengharapkan penajaan dari orang ramai untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Pnom Penh. Turut hadir di lapangan terbang hari ini adalah Tuan Hj. Mohamad Nordin bin Ibrahim; Pengarah Bahagian Kemajuan Islam, Encik Zakaria bin Othman; Pegawai Khas kepada Ketua Pengarah, Pegawai Perhubungan Awam dan kakitangan Bahagian Kemajuan Islam.
 
Kesemua pelajar telah selamat tiba di ILIM pada jam 12.00 tengahari. Setibanya di ILIM, para pelajar tersebut telah disambut oleh Pengarah ILIM, Us. Che Ibrahim bin Che Man, Timbalan Pengarah (Pengurusan), Puan Syafini binti Samsudin serta Timbalan Pengarah (Latihan), Us. Omar bin Said. Turut serta menyambut ialah beberapa pegawai kanan ILIM dan Jakim.

Jakim melalui ILIM telah mengambil inisiatif dengan membuka peluang penginapan dalam operasi menyelamat pelajar dan rakyat Malaysia yang terpaksa pulang akibat pergolakan yang berlaku di Kaherah Mesir. ILIM telah membuka bilik gerakan di blok asrama ILIM untuk mengurus penginapan para pelajar dan rakyat Malaysia yang bakal tiba dari Mesir.
 
 
Ketibaan mereka disambut oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jakim. 
 

 
 
 
Pelajar mendaftar di kauter penginapan ILIM, Bangi.