Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
 

Menyahut aspirasi kerajaan untuk menjadikan tahun 2018 sebagai Tahun Kejayaan dan Keberhasilan Yang Mengagumkan atau Year Of Success And Impressive Result, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melaksanakan Makmal Pemerkasaan KAFA pada 22 hingga 25 Januari 2018 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi Selangor.

Secara signifikannya, makmal ini merupakan implementasi kepada salah satu daripada resolusi yang telah diputuskan dalam Warshah Islah Pendidikan Islam Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) iaitu KAFA ditambah baik secara menyeluruh dan dianjakkan daripada program pengukuhan menjadi sistem pendidikan asas arus perdana bagi kanak-kanak Islam.

Sudah pasti agenda pemerkasaan pendidikan KAFA ini menjadi momentum kepada kejayaan aspirasi pembinaan sebuah negara bangsa yang unggul sebagaimana yang dihasratkan menerusi Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50), iaitu melahirkan generasi khaira ummah yang berwibawa dan menjiwai jati diri Islam dengan akhlak yang luhur serta kebertanggungjawaban dalam melaksanakan setiap amanah yang tergalas. Justeru, kemenjadian murid-murid yang mengikuti kelas KAFA pada hari ini, menjadi harapan dan taruhan kepada kejayaan TN50 untuk tiga dekad yang akan datang.

Menyentuh mengenai objektif penganjuran makmal ini, salah satu daripadanya ialah untuk merangka hala tuju baharu KAFA bagi melahirkan generasi yang beriman dan berakhlak serta menghayati kehidupan beragama pada tahun 2050 nanti. Dalam pada itu, makmal ini turut memberi fokus kepada aspek penyediaan mekanisme mengarus perdanakan program KAFA serta merangka road map dan keperluan prasarana ke arah merealisasikan hala tuju baharu KAFA dalam pendidikan arus perdana.

Makmal yang berlangsung selama empat hari ini dipandu oleh empat orang fasilitator berpengalaman dari Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan penglibatan 60 orang peserta yang mewakili pelbagai agensi. Antaranya daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Agama Islam Negeri dan guru-guru KAFA yang telah memberikan komitmen yang tinggi sepanjang program berlangsung dengan pelbagai idea, pandangan dan sumbang saran yang bernas.

Semoga hasil makmal ini menjadi langkah permulaan yang bergemerlapan ke arah menjayakan agenda pemerkasaan pendidikan KAFA di Malaysia demi merealisasikan citra masa hadapan negara pasca 2020.

 

Pemerkasaan KAFA 1

Pemerkasaan KAFA 2

Pemerkasaan KAFA 3

Pemerkasaan KAFA 4

Pemerkasaan KAFA 5