Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:40 Syuruk : 6:58 Zohor : 1:01 Asar : 4:22 Maghrib : 6:58 Isyak : 8:11

Jakim logo white small
 
KENYATAAN MEDIA
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

PELANTIKAN TIMBALAN KETUA PENGARAH (DASAR) JAKIM YANG BAHARU
_____________________________________________________________________
 
Adalah dimaklumkan, bahawa  Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) telah memperakukan Puan Hajah Hakimah binti Mohd.Yusoff sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM Gred Utama B yang baharu mulai 15 Oktober 2018. Pelantikan beliau adalah bagi mengisi jawatan tersebut yang telah dikosongkan oleh YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim yang telah dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKIM bermula 17 Mei 2018.
 
Puan Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff adalah Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) wanita pertama yang dilantik memegang jawatan tersebut. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah di Universiti Malaya pada tahun 1990 dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 2001.
 
Puan Hajah Hakimah memulakan pekhidmatan sebagai penjawat awam pada tahun 1992 sebagai Penolong Pengarah di Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri (BAHEIS). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada tahun 2008 hingga 2009 sebelum dilantik sebagai Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM pada tahun 2011 hingga 2016. Kecemerlangan beliau amat terserlah semasa beliau menerajui Bahagian Hab Halal sehingga Pensijilan Halal Malaysia diterima hingga ke peringkat dunia. Pada tahun 2016, beliau telah dinaikkan pangkat ke gred yang lebih tinggi sebagai Pengarah Bahagian Kemajuan Islam, JAKIM. Atas sumbangan dan pencapaian cemerlang beliau dalam perkhidmatan, maka Kerajaan telah memperakukan pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM yang baharu.
 
Semoga dengan pelantikan ini, akan mampu melonjakkan lagi peranan JAKIM sebagai agensi utama pengurusan hal ehwal Islam di negara ini yang akan terus melebarkan risalah dan menyantuni ummah selaras dengan prinsip Islam sebagai agama Rahmatan Lil A'lamin.
 
Sekian
 
HAJI ZAKARIA BIN OTHMAN
Ketua
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
14 Oktober 2018
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 16 November 2018.
Jumlah Pelawat :12241938