WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
 
BERKENAAN
 
PERKHIDMATAN KESIHATAN SEKOLAH KEPADA SEKOLAH AGAMA BERDAFTAR
____________________________________________________________________________
 
  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperluaskan perkhidmatan kesihatan sekolah kepada sekolah-sekolah agama yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri sebagaimana perkhidmatan yang diterima oleh sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
  2. Cadangan tersebut telah dibentang oleh wakil KKM dan diterima dalam Persidangan Ketua-Ketua Jabatan Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia (PKJ) Kali Ke-108 yang bersidang pada hari ini 19 Februari 2019 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi yang dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
  3. Justeru, JAKIM bersedia membantu dan menjadi pemudah cara dalam pelaksanaan program ini memandangkan kesihatan adalah keperluan asas bagi membolehkan murid belajar dengan baik dan dapat memberikan tumpuan yang sempurna dalam pembelajaran serta mengekalkan tahap kesihatan optima sepanjang masa persekolahan. Persidangan juga telah bersetuju supaya JAKIM menjadi Penjaga atau Pemegang Taruh Utama kepada program dan perkhidmatan kesihatan di sekolah-sekolah agama di Malaysia.
  4. Program yang bakal dilaksanakan ini akan memberi manfaat kepada 83252 orang murid sekolah agama rendah dan menengah iaitu 92 buah Sekolah Agama Negeri dan 135 Sekolah Agama Rakyat di seluruh negara. Mereka bakal menerima perkhidmatan pendidikan kesihatan, imunisasi, pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan sekiranya diperlukan mengikut tahap umur persekolahan sebagaimana yang diterima oleh murid-murid yang belajar di sekolah-sekolah yang berdaftar di bawah KPM. Ini adalah suatu perkhidmat yang cukup berharga bagi murid-murid sekolah agama.
  5. Antara objektif utama program perkhidmatan kesihatan ini adalah untuk memastikan sekolah yang berdaftar dengan MAIN/JAIN diklasifikasikan sebagai sekolah berjadual, bagi membolehkan sekolah-sekolah tersebut mendapat perkhidmatan kesihatan sekolah tanpa dikenakan caj fi.
  6. Pada masa ini, JAKIM dimaklumkan belum ada lagi badan khusus yang menyelaras dan mengurus penyampaian perkhidmatan kesihatan untuk murid di sekolah agama. Ini menimbulkan kesukaran kepada KKM untuk mengenal pasti sekolah-sekolah agama yang berdaftar dengan MAIN/JAIN. Oleh itu, bagi merealisasikan hasrat murni ini, sebuah Jawatankuasa Bersama Kesihatan JAKIM/MAIN/JAIN/KKM/KPM di peringkat kebangsaan dan negeri perlu ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih teliti berkaitan peranan pelbagai pihak yang terlibat.
  7. Hasrat murni Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini adalah bertepatan dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu Memelihara Nyawa (hifz an-nafs) dan Memelihara Akal (hifz al-aql).

Sekian.
 
DATUK MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
15 Jamadilakhir 1440H
20 Februari 2019M
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 21 April 2019.
Jumlah Pelawat :12282250