WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

jata negara small     logo N9
 
KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN
DAN
YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
BERKENAAN
 
MAJLIS TILAWAH DAN MENGHAFAZ AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1440H/ 2019M
________________________________________________________________________________________
 
1. Negeri Sembilan amat bertuah kerana terpilih menjadi tuan rumah pada penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1440H/2019M yang dijadualkan berlangsung selama 6 hari bermula pada 10 hingga 15 Rejab 1440H bersamaan 17 hingga 22 Mac 2019 bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan.
 
2. Pada tahun 2018, MTHQK telah diadakan di Kompleks Islam Putrajaya dengan jayanya. Manakala pada tahun ini Kerajaan Persekutuan yang baharu di bawah Pakatan Harapan telah mendapat persetujuan Kerajaan Negeri Sembilan untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai tuan rumah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1440H/2019M yang mana pastinya bakal mencorak seribu satu memori indah dan pengalaman berharga buat para peserta.
 
3. Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan merupakan program tahunan peringkat kebangsaan. Program ini ternyata telah berjaya melahirkan ramai qari dan huffaz yang telah berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh, saudara Ahmad Luqman Ahmad Zaini, Johan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi kategori 1 hingga 10 juzu’ di Negeri Melaka pada tahun 2017 telah menjulang nama negara apabila menjuarai pertandingan hafazan al-Quran Peringkat Asia Pasifik tahun 2018. Beliau juga adalah merupakan bekas pelajar Darul Quran JAKIM.
 
4. MTHQK 1440H/2019M ini merupakan program tahunan dan tahun ini dianjurkan secara bersama melalui kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kerajaan Negeri Sembilan dan beberapa Jabatan/Agensi Kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri. Ini menggambarkan komitmen pihak Kerajaan dalam menerapkan budaya minat membaca terhadap al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan larangan Yang Maha Esa dalam amalan kehidupan kita seharian.
 
5. Edisi pada tahun 2019 ini, Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan diadakan serentak seperti tahun yang lalu. Untuk makluman, Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan diadakan bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan bersambung jam 2.30 petang hingga 4.00 petang manakala Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan akan bermula pada jam 8.45 malam hingga 11.00 malam.
 
 
PENGLIBATAN PESERTA
 
6. Sehingga kini penganjur mengesahkan menerima penyertaan dalam acara Tilawah seramai 28 orang peserta yang diwakili oleh 14 orang Qari dan 14 orang Qariah dari semua negeri di Malaysia dan tiada peserta Johan Menunggu disebabkan telah dinobatkan sebagai Johan di peringkat Antarabangsa pada tahun lalu.
 
7. Pada penganjuran kali ini, semua peserta acara Tilawah akan diwajibkan membaca al-Quran secara bertaranum dengan dua (2) jenis lagu yang ditetapkan secara berturut-turut dan ia hanya akan diketahui oleh peserta ketika proses pengundian ayat. Perkara ini telah ditetapkan oleh juri hakim dan semenangnya ia satu perkara yang agak mencabar bagi peserta. Tujuannya adalah supaya semua peserta akan lebih mendalami ilmu-ilmu taranum di dalam al-Quran dan pastinya akan memberi nilai tambah kepada peserta yang akan menjadi johan nanti.
 
8. Bagi acara Menghafaz al-Quran pula, penyertaan para huffaz lelaki dan wanita dipertandingkan mengikut 3 kategori seperti berikut iaitu :
 
Kategori Pertama = Juzuk 1 hingga 10 (14 lelaki dan 14 wanita)
Kategori Kedua = Juzuk 1 hingga 20 (14 lelaki dan 14 wanita)
Kategori Ketiga = Juzuk 1 hingga 30 (14 lelaki dan 14 wanita)
 
9. Secara asasnya, setiap negeri akan menghantar 6 orang wakil bagi semua kategori menjadikan jumlah keseluruhannya adalah seramai 84 orang peserta (tahun lalu hanya 78 orang). Kesemua peserta adalah berumur di antara 7 hingga 25 tahun.
 
 
PESERTA NEGERI SEMBILAN
 
10. Sebagai tuan rumah, Negeri Sembilan sendiri menghantar lapan (8) orang peserta untuk menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1440H/2019M.
 
11. Peserta bagi kategori tilawah :-
Qari : Mohamad Husaini bin Mahmor
Qariah : Nor Farhatul Faizurah binti Panut
 
Peserta bagi kategori hafazan 1 hingga 10 Juzuk :-
Hafiz : Irfan Syahmi bin Suhaimi
Hafizah : Nur Hasanah binti Bakhtier Effandy
 
Peserta bagi kategori hafazan 1 hingga 20 Juzuk :-
Hafiz : Muhammad Luqman Danial bin Zaid
Hafizah : Aisyah Irdina binti Zulkifli
 
Peserta bagi kategori hafazan 1 hingga 30 Juzuk :-
Hafiz : Muhammad Hafiz bin Abd Razak
Hafizah : Putri Nur Nadia binti Bakri
 
 
BARISAN JEMAAH HAKIM
 
12. Para peserta akan dinilai oleh barisan jemaah hakim seramai 16 orang bagi acara Tilawah dan 17 orang bagi acara Menghafaz yang berkaliber dan berpengalaman dalam bidang masing-masing yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM; YBhg. Datuk Mohamad Nordin Ibrahim. Para juri akan mengambil kira aspek kelancaran (fasohah) bacaan dan hafazan masing-masing, hukum tajwid, kelunakan suara, persembahan dan taranum.
 
 
HADIAH KEPADA PEMENANG
 
13. Alhamdulillah tahun ini masih diberikan rezeki yang istimewa kepada Johan kedua-dua acara tilawah dan menghafaz bagi MTHQK 1440H/2019M. Hadiah-hadiah yang ditawarkan kepada peserta adalah seperti berikut:
 
1) Acara Tilawah al-Quran:
 
i. Johan Qari dan Qariah :
a. Wang tunai RM 15,000
b. Tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji
c. Cenderamata
d. Sijil penyertaan
 
ii. Naib Johan Qari dan Qariah :
a. Wang tunai RM 10,000
b. Tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji
c. Cenderamata
d. Sijil penyertaan
 
iii. Tempat Ketiga Qari dan Qariah :
a. Wang tunai RM 7,500
b. Tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji
c. Cenderamata
d. Sijil penyertaan
 
iv. Hadiah Saguhati :
a. Wang tunai RM 3,000
b. Cenderamata
c. Sijil penyertaan
 
2) Acara Menghafaz al-Quran:
 
• Kategori Pertama: Menghafaz Juzuk 1 hingga 10
i) Johan Lelaki dan Wanita : Wang tunai RM 5,000 dan piala iringan.
ii) Naib Johan Lelaki dan Wanita : Wang tunai RM 4,000.
iii) Tempat Ketiga Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 2,000.
iv) Saguhati Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 1,000.
 
• Kategori Kedua: Menghafaz Juzuk 1 hingga 20
i) Johan Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 7,000 dan tambahan wang tunai RM 7000 untuk menunaikan umrah.
ii) Naib Johan Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 5,000.
iii) Tempat Ketiga Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 3,000.
iv) Saguhati Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 1,500.
 
• Kategori Ketiga: Menghafaz Juzuk 1 hingga 30
i) Johan Lelaki dan Wanita:
a. Wang tunai RM 15,000 dan tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji serta piala iringan.
b. Akaun Al-Awfar berjumlah RM 20 ribu tajaan Bank Islam Malaysia Berhad.
 
ii) Naib Johan Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 10,000 dan tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji.
iii) Tempat Ketiga Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 7,500 dan tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji.
iv) Saguhati Lelaki dan Wanita: Wang tunai RM 3,000
 
• Hadiah sumbangan Kerajaan Negeri Sembilan
i) Simpanan Emas (Gold Savings) bernilai RM1400 kepada johan, tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori melalui Bank Muamalat (M) Berhad.
ii) Hadiah iringan kepada semua peserta termasuk para pemenang
 
• Selain itu, setiap peserta akan menerima cenderamata dan sijil penyertaan.
 
14. Sebagaimana maklum, para peserta yang menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan merupakan johan bagi penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz al Quran di peringkat negeri masing-masing. Sehubungan itu, johan peserta Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan ini pula akan mewakili Negara Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa yang dijadualkan pada 15 hingga 20 April 2019 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.
 
 
TEMA PENGANJURAN MAJLIS TILAWAH DAN MENGHAFAZ AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN (MTHQK) TAHUN 1440H/2019M
 
15. Tema “Menyantuni Umat Membawa Rahmat” bagi penganjuran MTHQK pada tahun ini adalah amat signifikan dan bertepatan dengan situasi semasa. Islam menganjurkan umatnya agar berakhlak dan berbudi pekerti mulia dalam setiap perbuatan mahupun tutur kata.
 
16. Setiap manusia berhak untuk disantuni walaupun mungkin ada sesetengah tindakan dan pandangan mereka berbeza dengan kita. Kesejahteraan negara menuntut keikhlasan dan komitmen semua pihak dalam memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman terus segar. Bahkan ia dibina di atas landasan kesederhanaan, kesantunan dan kesatuan dengan satu matlamat ke arah kemajuan dan pembangunan seimbang yang menatijahkan sebuah negara yang sejahtera.
 
17. Justeru, Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh manusia tanpa mengira pangkat, darjat, keturunan dan bangsa. Kesempurnaan dan kelestarian Islam amat terserlah melalui layanan terhadap semua makhluk Allah SWT di muka bumi ini menerusi hukum hakam dan perundangan yang dibawa. Kehebatan Islam lebih dirasai oleh setiap yang mempercayai, menyakini dan beriman dengan Allah SWT. Kesemua sudut kehidupan dan keadaan diraikan oleh agama yang mulia ini. Ini selaras dengan firman Allah dalam Surah al-Anbiyaa ayat 107 yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.
 
 
PEMBUKAAN DAN PERASMIAN PENUTUP
 
18. Penganjuran MTHQK ini akan disempurnakan pembukaannya oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri pada 17 Mac 2019 (Ahad) jam 8.30 malam di Dewan Majlis Perbandaran Seremban. Manakala Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah pada 22 Mac 2019 (Jumaat) pula akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
 
 
ACARA-ACARA MENARIK YANG LAIN
 
19. Dalam masa yang sama, beberapa program telah diatur bagi menarik lebih ramai pengunjung hadir ke majlis ini. Antaranya pihak penganjur telah menyediakan :-
1) TV LED Skrin Besar di perkarangan Dewan Majlis Perbandaran Seremban untuk menyiarkan secara langsung MTHQK ini.
2) Foodtruck yang akan menjual pelbagai produk makanan dan minuman mulai jam 7 pagi hingga 11.00 malam.
3) Surau Bergerak yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
4) 8 buah bas disediakan untuk mengambil pengunjung dari beberapa lokasi di Negeri Sembilan.
5) Khemah pameran disediakan untuk 20 pempamer antaranya Tabung Haji, JAKIM, Bank Islam, Jabatan Mufti dan lain-lain yang terlibat.
6) Di sepanjang MTHQK ini berlangsung turut akan diadakan beberapa persembahan khas pada setiap pagi dan malam sebagai acara selingan.
 
20. Oleh itu, orang ramai adalah dijemput hadir bersama keluarga dan sesuai untuk semua peringkat umur bagi menghayati bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta memeriahkan acara-acara menarik lain yang telah diatur.
 
21. Penonton juga boleh menonton MTHQK ini secara langsung di saluran RTM dan TV AlHijrah, siaran langsung melalui radio Nasional FM dan IKIM FM ataupun melalui melalui live streaming web TV JAKIM dengan melayari laman web www.jakim.tv. Beberapa radio RTM juga akan membuat lintas langsung iaitu Salam FM (BM), KL FM (BM), Ai FM (Mandarin), Traxx FM (B. Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).
 
22. Sehubungan itu, dipohon jasa baik pihak media mewar-warkan penganjuran majlis ini dan membuat liputan bermula tarikh 17 hingga 22 Mac 2019 dari jam 8.30 pagi hingga 11.00 malam setiap hari bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan.
 
Sekian, terima kasih.
 
YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SERI HAJI AMINUDDIN HARUN
MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN
DAN
YB DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
12 Mac 2019
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 24 Mei 2019.
Jumlah Pelawat :12295069