WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

 


jata

KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

 

BERKENAAN

PERSIDANGAN MUFTI-MUFTI SELURUH MALAYSIA & PELANCARAN APLIKASI SMART HADITH

 

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan Persidangan Mufti-Mufti Seluruh Malaysia pada 28 Januari 2020 di Hotel Zenith Putrajaya. Persidangan ini merupakan salah satu platform yang menghimpunkan para Mufti dan Timbalan Mufti seluruh Malaysia bagi membincangkan secara khusus hal-hal berkaitan pengurusan, pentadbiran dan pembangunan institusi fatwa di Malaysia.

 

2. Persidangan ini merupakan usaha yang dilaksanakan oleh JAKIM dalam merangka kerjasama berstrategik dengan Jabatan Mufti Negeri bagi mendepani cabaran isu-isu semasa Islam memandangkan kedua-dua agensi agama ini saling memerlukan di antara satu sama lain dalam memantapkan dan memperkukuhkan kedudukan Islam di Negara ini.

 

3. Antara objektif utama persidangan ini adalah:-

  1. Membincang dan menyelaras isu-isu pengurusan dan pembangunan institusi fatwa melalui medium perbincangan yang sistematik dan berkala antara JAKIM dan semua Jabatan Mufti Negeri;
  2. Bertanggungjawab dalam memastikan pengurusan dan penyelarasan institusi fatwa sentiasa dikemaskini dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa; dan
  3. Bertanggungjawab memastikan jalinan koordinasi di antara Kerajaan Pusat dan Jabatan Mufti seluruh Negeri dilaksanakan secara menyeluruh.

 

4. Perasmian persidangan ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sokongan, nasihat dan panduan para Ashabus Samahah Mufti-Mufti amat diharapkan dalam memartabatkan Islam sebagai agama rahmah dalam pentadbiran Negara.

 

5. Selain Persidangan Mufti-Mufti Seluruh Malaysia, JAKIM juga merupakan hos Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Ia merupakan satu lagi platform yang menghimpunkan Mufti seluruh Malaysia serta Ahli Lantikan Majlis Raja-Raja khusus bagi membincangkan isu-isu nasional yang memerlukan pandangan hukum sebagai panduan kepada seluruh umat Islam.

 

6. Dalam masa yang sama Datuk seri Dr. Mujahid juga turut melancarkan Aplikasi Smart Hadith yang telah dibangunkan oleh JAKIM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan tagline “Hadith Sahih Di Hujung Jari”.

 

7. Objektif utama aplikasi ini dibangunkan adalah :-

  1. Memartabatkan hadith sebagai rujukan kedua selepas al-Quran;

  2. Sebagai gerbang maklumat alternatif (kedua) yang disediakan untuk pengguna mendapatkan pelbagai koleksi hadith;

  3. Menjadi pemudahcara dalam proses semakan dan carian hadith sahih;

  4. Membantu golongan sasaran seperti pendakwah, penyelidik, pensyarah dan pelajar;

  5. Meningkatkan kepantasan capaian terhadap maklumat yang disediakan;

 

8. Projek aplikasi mobile yang ditanggung sepenuhnya oleh SKMM ini dilengkapi dengan fungsi Carian, Hadith Harian, Perkongsian Maklumat ke Media Sosial, Bookmark dan Pertanyaan. Smart Hadith boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Apps Store.

 

9. Sehubungan itu, mohon jasa baik pihak media untuk mewar-warkan Persidangan

Mufti-Mufti Seluruh Malaysia & Pelancaran Aplikasi Smart Hadith kepada masyarakat umum.

Sekian, terima kasih.

 

 

DATO’ PAIMUZI BIN YAHYA

Ketua Pengarah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

28 JANUARI 2020




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 01 Jun 2020.
Jumlah Pelawat :12414703