WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

jata
 
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN

KEMBARA EKSPEDISI JALANAN SIRI 1/2020

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti akan menganjurkan program Kembara Ekspedisi Jalanan Siri 1/2020 pada 29 Februari 2020 (Sabtu) yang akan bermula dari Kompleks Islam Putrajaya dan berakhir di Masjid Selat Melaka, Negeri Melaka. Penganjuran program ini telah dirancang dan direncanakan bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Agama Islam Melaka dan Pilgrimage Riders Club (PRC).

Program yang menyasarkan kepada golongan “mat-mat motor” dari kalangan belia- tanahair ini akan bermula pada jam 6.30 pagi hingga 2.30 petang dan akan dirasmikan oleh YBhg. Datuk Md Azhan bin Samat; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka pada jam 12.30 tengahari di Masjid Selat Melaka, Negeri Melaka. Manakala majlis pelepasan pula akan disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Aziz bin Haji Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM. Antara tetamu yang akan hadir semasa majlis pelepasan konvoi ini ialah YBrs. Tuan Haji Mohd Ajib bin Ismail; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan YBhg. Dato’ Razali bin Shahabuddin; Pengerusi Yayasan Ihtimam Malaysia.

Umat Islam mutakhir ini dilihat banyak terlibat dengan gejala sosial seperti rempit jalanan, perjudian lumba motor, kes kecurian motor dan seumpamanya.Justeru, adalah amat penting suatu program berbentuk dakwah dan pengisian agama bagi tujuan memberikan kesedaran kepada “mat-mat motor” khususnya golongan yang digelar “mat rempit” bagi tujuan meninggalkan perlakuan yang dilarang agama dan menjalani kehidupan yang lebih sejahtera berdasarkan tuntutan syariat.

Berdasarkan panduan daripada al-Quran dan al-Hadith, bahagian ini berpendirian menolak aktiviti rempit dan perjudian jalanan, namun tidak menafikan hak golongan yang terlibat dengan gejala sosial berkenaan untuk diberikan bimbingan dan panduan, agar dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera. Oleh yang demikian, JAKIM mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai aktiviti dan perkongsian yang lebih giat dilakukan bagi membantu pelbagai institusi agama, kementerian, NGO’s dan pelbagai agensi untuk bergerak secara bersepadu dan terancang dalam usaha membimbing dan mengembalikan golongan ini kepada kehidupan yang dituntut dalam agama Islam melalui pelbagai perspektif sama ada pemikiran, perundangan, penstrukturan kerohanian dan lain-lain.

Program yang julung kali diadakan ini adalah untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada peserta melalui aspek psikososial, psikologikal, psikospiritual dan keprihatinan secara lebih holistik dan berkesan di samping membangunkan modal insan yang berkualiti. Remaja kini amat gemar menyaksikan bentuk dakwah yang tidak formal serta santai dan ditambah lagi dengan pelbagai perisa jenaka dalam dakwah. Ini dapat dibuktikan apabila program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari kalangan belia-belia Muslim sama ada lelaki mahupun wanita.

Pencegahan melalui pendekatan agama dipercayai antara usaha yang paling berkesan bagi menangani masalah gejala sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini. Pengisian menarik yang disusun menerusi program untuk kali ini adalah aktiviti halaqah secara berkumpulan di antara Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka dan Putrajaya bersama peserta-peserta konvoi, anak-anak yatim dan pelajar-pelajar asnaf serta penyampaian sumbangan ikhlas oleh peserta-peserta dan agensi kepada golongan yang kurang bernasib baik. Selain dari solat zuhur berjamaah, turut diselitkan juga dengan tazkirah ringkas oleh Imam 1 Masjid Selat Melaka, Negeri Melaka dan segmen santai penghibur jalanan (Buskers) bersama kumpulan As salam Buskers & Zul Handy Black. Malah, rakan-rakan strategik dari pelbagai agensi iaitu Yayasan Ihtimam Malaysia, Yayasan Taqwa, QSR Brands, D’Pondok Bikers dan lain-lain lagi turut menyumbang dalam menjayakan program ini.

Program yang bertemakan “Belia Cakna, Risalah Tersebar, Ummah Terbela” ini melibatkan penyertaan seramai 120 orang peserta konvoi yang telah berdaftar antaranya belia dari kelab-kelab motor beroda dua berkuasa 185CC dan kebawah, pelajar-pelajar IPTA/IPTS, agensi kerajaan, agensi swasta dan lain-lain lagi. Seramai 80 orang anak-anak yatim dan pelajar-pelajar asnaf telah dijemput hadir bersama ke Masjid Selat Melaka bagi mengisi slot ramah mesra dalam usaha mendekati, menyantuni dan menanam rasa syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang telah dikurniakan melalui pemerhatian terhadap golongan yang bukan bernasib baik ini.

Semoga dengan perlaksanaan program Kembara Ekspedisi Jalanan bagi Siri 1/2020 menjadi pemangkin untuk siri-siri yang berikutnya dan boleh diimplimentasikan sebagai medium dakwah berbentuk kontemporari, perbincangan, perkongsian dan kolaborasi antara JAKIM dan agensi-agensi luar dalam usaha menyantuni golongan mat-mat motor ini agar menginsafi diri tentang hakikat sebenar sebagai hamba Allah SWT. Tarbiah dan bimbingan secara berterusan perlu dilakukan kepada mereka. Walau bagaimanapun, hidayah bukan berada ditangan manusia semata-mata bahkan usaha yang dilakukan itu boleh menjadi asbab kepada mereka dalam memperolehi hidayah dari Allah SWT.

Sekian, terima kasih.

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

29 FEBRUARI 2020




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 01 Jun 2020.
Jumlah Pelawat :12414309