Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T atas limpah kurnia serta rahmat-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhamad S.A.W. ahli keluarga dan para sahabat Baginda sekalian.

Berdasarkan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) Siri 61 Bil.2/2008 pada 22 September 2008 telah memutuskan pewujudan Unit Komunikasi Korporat bagi semua Kementerian menggantikan Unit Perhubungan Awam untuk mempromosikan program-program dan pencapaian agensi bagi meningkat daya saing negara.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Mengkaji Jawatan-Jawatan Tertinggi (JKTT) Bil. 5/2008 pada 18 November 2008 telah bersetuju mewujudkan model Unit Komunikasi Korporat di semua Kementerian.

Pertambahan fungsi pengurusan media sosial dilaksanakan selaras dengan keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil.4/2012 bertarikh 29 Februari 2012 yang memutuskan agar “usaha mengadakan komunikasi yang interaktif dengan masyarakat umum termasuk golongan muda perlu ditingkatkan dengan menceburi alam siber menggunakan teknologi terkini agar dapat mewujudkan hubungan positif dengan masyarakat umum”.

Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (UKK JAKIM), telah diluluskan mengikut Akta Prosedur Kewangan, 1957 Seksyen 15(3), Waran Perjawatan Bil. A213 Tahun 2018 berkuatkuasa 2 Julai 2018.

UKK JAKIM diletakkan di bawah Pejabat Ketua Pengarah JAKIM melalui penstrukturan semula yang diperluaskan peranan dan fungsinya untuk memperkasa imej JAKIM sebagai peneraju pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia.

Sekian, terima kasih.


ZAKARIA BIN OTHMAN
Ketua Unit
Unit Komunikasi korporat, JAKIM