jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
 
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
 
”PERKEMBANGAN PENSIJILAN HALAL KEPADA HOTEL MELALUI JAKIM SEPANJANG 10 RAMADHAN PERTAMA 1431H”
 
  1. Sukacitanya dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menjalankan pemantauan terhadap 34 buah hotel yang menawarkan sajian “Bufet Ramadan” bermula pada 1 hingga 10 Ramadan 1431 Hijriah di beberapa buah negeri di Malaysia. Kesemua pemeriksaan dan serbuan tersebut telah dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Selangor dan Kedah. Hotel-hotel tersebut meliputi hotel 5 bintang, 4 bintang dan 3 bintang ke bawah.
  2. Dalam pemeriksaan tersebut, sebanyak 2 buah hotel telah memperolehi sijil halal Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Penemuan turut mendapati sebanyak 34 buah hotel telah menggunakan istilah Buffet Ramadhandan 24 buah hotel didapati menggunakan bahan yang diragui halal.
  3. Tujuan pemantauan ini diadakan adalah untuk memastikan premis berkenaan menyediakan makanan halal yang mematuhi hukum syarak. Di samping itu juga, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pihak berkenaan terhadap tanggungjawab dalam penyediaan makanan halal kepada pengguna Islam.
  4. Hasil pemantauan tersebut, didapati 70 peratus daripada keseluruhan premis berkenaan tidak memenuhi keperluan piawaian Pensijilan Halal Malaysia. Promosi buffet Ramadan yang ditawarkan adalah jelas tidak menepati Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan ‘Halal’) 1975.
  5. Antara hasil penemuan ialah penggunaan bahan mentah yang berasaskan alkohol, bahan ramuan yang diragui, bahan mentah yang tiada pengesahan halal, ayam daripada sumber yang tidak jelas dan percampuran di antara bahan mentah halal dengan tidak halal di kawasan penerimaan (loading bay) dan stor penyimpanan.
  6. Walau bagaimanapun, kesemua pihak premis memberikan kerjasama dan maklumbalas yang baik di sepanjang proses pemantauan ini dijalankan. Pihak premis juga menyatakan minat dan kesediaan untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN)
  7. JAKIM akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bersama KPDNKK kepada hotel-hotel ini pada setiap hari sepanjang Ramadhan. Oleh yang demikian, semua pihak hotel diingatkan agar tidak menyalahguna terma Buffet Ramadhanyang boleh memberi kekeliruan kepada pengguna yang mengunjungi hotel bagi berbuka puasa. Sebagaimana yang kita ketahui, penggunaan istilah Buffet Ramadhan merupakan perbahasaan halal dan ianya boleh diambiltindakan sekiranya terdapat penyalahgunaan.
  8. Sementara itu, sepanjang 10 Ramadhan pertama ini, JAKIM telah menerima sebanyak 16 permohonan daripada hotel-hotel seluruh Malaysia. Daripada jumlah hotel tersebut, sebanyak 9 hotel telah memperlengkap dokumen dan sedang diproses dan sebanyak 7 hotel masih belum melengkapkan dokumen mereka. Manakala sebanyak 2 hotel telah diberikan sijil halal dalam tempoh 10 Ramadhan ini. Hotel-hotel tersebut adalah JB Central, Johor dan Pearl International, Selangor.
  9. Suka JAKIM mengingatkan kepada pemohon yang memohon secara on-lineagar segera menghantar dokumen sokongan mereka bagi mengelakkan permohonan mereka ditolak secara automatik oleh sistem e-halal sekiranya melebihi 5 hari permohonan.
  10. Seterusnya, JAKIM ingin memaklumkan bahawa mana-mana permohonan (produk/ premis/ rumah sembelih/ logistik) boleh mengemukakan permohonan kepada JAKIM / JAIN.
  11. JAKIM juga amat menghargai kerjasama pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang telah mewar-warkan senarai hotel yang telah diberikan pensijilan halal oleh pihak berkuasa negeri kepada pihak media untuk makluman orang ramai.
  12. Sehubungan dengan itu, JAKIM menasihatkan pengguna Islam supaya berhati-hati memilih makanan halal dan mengelakkan daripada perkara yang was-was seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Yang halal itu sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas, di antara kedua-duanya ada beberapa perkara yang belum jelas hukumnya (syubhat)”. HR Muslim dan at-Tirmizi.
  13. Untuk maklumat lanjut berkenaan pensijilan halal JAKIM serta senarai pemegang sijil halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM, orang ramai bolehlah melayari laman web halal JAKIM di www.halal.gov.my.
  14. Atas jasa baik pihak media dalam mewar-warkan perkara ini kepada para pengusaha hotel di Malaysia khususnya dan masyarakat Malaysia amnya amatlah diharapkan dan didahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian, terima kasih.
 
'BERKHIDMAT UNTUK NEGARA'
Saya yang menurut perintah,
 
DATO’ HAJI WAN MOHAMAD BIN DATO’ SHEIKH ABDUL AZIZ
 
 
Lampiran
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 19 Januari 2018.
Jumlah Pelawat :12163057