jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
 
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERHUBUNG
 
JAWAPAN SURAT & EMEL BERITA HARIAN 'JAKIM PATUT PERKETAT SYARAT SIJIL, LOGO HALAL'

 

JAWAPAN SURAT & EMEL
'JAKIM PATUT PERKETAT SYARAT SIJIL, LOGO HALAL'
BERITA HARIAN 01 APRIL 2010

1. Merujuk kepada cadangan pengadu Afiqah Abdul Rashid dalam ruangan surat & emel dalam akhbar Berita Harian bertarikh 1 April 2010 yang bertajuk JAKIM PATUT PERKETAT SYARAT SIJIL, LOGO HALAL.

2. JAKIM ingin menyatakan bahawa prosedur pensijilan halal oleh JAKIM adalah merangkumi aspek syariah dan juga teknikal yang melibatkan kesucian, kebersihan dan kualiti produk. Ini adalah bagi memastikan bahawa produk yang mendapat sijil dan logo halal Malaysia adalah halal dan selamat untuk dimakan dan digunakan oleh pengguna serta menepati konsep 'Halalan Toyyiban'. 

3. Di dalam proses pensijilan ini, pemohon dikehendaki untuk mengemukakan semua ramuan yang digunakan dalam setiap produk keluaran pemohon. Pihak JAKIM akan menjalankan pemeriksaan dan analisis terhadap sumber ramuan dan memastikan bahawa ramuan tersebut adalah halal dan selamat kepada pengguna.

4. Bagi memastikan bahawa pemegang sijil dan logo halal Malaysia sentiasa mematuhi piawaian halal ini, salah satu perkara yang ditetapkan JAKIM ialah pemohon mesti menempatkan pekerja beragama Islam atau Eksekutif Halal di premis atau kilang mereka. Bagi kategori dapur, syarikat mestilah menempatkan sekurang-kurangnya 2 orang tukang masak atau pembantu tukang masak yang beragama Islam dan merupakan warganegara Malaysia di dalam setiap shif kerja. Pekerja tersebut mestilah mempunyai pengetahuan dan mengamalkan ajaran Islam serta mempunyai tahap kesihatan dan kebersihan yang baik.

5. Permohonan sijil dan logo halal Malaysia adalah terbuka kepada semua termasuk pemohon bukan Islam. Ini adalah kerana industri makanan dan bahan gunaan di negara ini turut melibatkan pengusaha bukan Islam termasuk syarikat-syarikat dari luar negara. Namun begitu, pemohon yang ingin mendapatkan sijil dan logo halal Malaysia mestilah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh JAKIM. Pihak JAKIM sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bersama pihak-pihak berkuasa yang lain bagi memastikan bahawa pemegang sijil dan logo halal Malaysia sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

6. Oleh yang demikian dipohon agar pihak media dapat mengeluarkan kenyataan ini untuk makluman kepada masyarakat umum.

Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah,

ASIAH BINTI ALKHARIB SHAH
Pegawai Perhubungan Awam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 20 April 2018.
Jumlah Pelawat :12184974