Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:53 Syuruk : 7:10 Zohor : 1:19 Asar : 4:34 Maghrib : 7:25 Isyak : 8:36

Ruj. Kami : Jakim(2.00)/8/3 Jld. 3(34)
Tarikh : 4 Januari 2010
 

jata negara small

KENYATAAN MEDIA
 
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
 
“KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI MENGENAI PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH”

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berpandangan TS Murphy Pakiam Archbishop Roman Catholic Kuala Lumpur harus mengguna kebijaksanaannya agar tidak menggunakan lafaz Allah dalam sebarang bahan terbitan pihaknya atau lain-lain. Selain dari kes ini belum muktamad dan masih dalam proses kehakiman, sensitiviti umat Islam dan martabat Islam dalam Perlembagaan Persekutuan wajib diambil kira. Kita sama-sama bertanggungjawab menyekat ruang bagi kelompok ekstremis bergerak dalam pertubuhan agama masing-masing. Pengalaman di India di mana pelampau Hindu membakar gereja dan masijd harus dijadikan iktibar. Keharmonian yang sedia wujud di Malaysia perlu dihargai bersama. Nasihat Y.A.B. Perdana Menteri perlu kita beri perhatian bersama.

2. JAKIM hairan kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, agama Islam adalah satu-satunya nama agama yang disebut tetapi kelihatan agama lain yang lebih diraikan.

3. Islam sebagai Agama Persekutuan di negara ini perlu dijunjung dan dihormati oleh semua sebagaimana S.P.B. Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Negara perlu ditaati oleh semua. Begitu juga kedudukan Raja-Raja yang menjadi Raja bagi seluruh rakyat jelatanya dan bukan untuk kaum-kaum tertentu.

4. Inilah realiti Malaysia yang perlu difahami semua, pengundi yang tidak pernah seumur hidupnya mengundi parti pimpinan Perdana Menteri mesti menerima kenyataan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua.

5. Sehubungan itu, saya menasihati semua pihak agar memahami dan menghayati realiti serta menjunjung semangat Perlembagaan di negara Malaysia, Islam tetap agama negara yang dimartabatkan oleh Perlembagaan Persekutuan walaupun anda tidak menganutnya.

6. Sementara itu bagi umat Islam, apapun pandangan penganut lain tentang lafaz Allah, ia adalah lafaz suci yang merujuk kepada tuhan yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

7. Oleh itu, sukacita dipohon pihak media dapat memaklumkan perkara ini kepada masyarakat.

Sekian, terima kasih.

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

Saya yang menurut perintah,

 

DATO’ HAJI WAN MOHAMAD BIN DATO’ SHEIKH ABDUL AZIZ
4 Januari 2010

 




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 17 Ogos 2018.
Jumlah Pelawat :12216085