Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah
 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini telah menerbitkan satu lagi kitab tafsir al-Quran yang dinamakan Tafsir Al-Wasit. Majlis Pelancaran kitab tafsir tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Mohamad Nordin bin Ibrahim, Ketua Pengarah JAKIM dalam satu majlis pada pagi ini di Putrajaya.
 
Menurut beliau, Tafsir al-Wasit ini merupakan hasil karya asal oleh ulama tersohor dunia iaitu Prof Dr. Sheikh Wahbah al-Zuhaili pada tahun 2001. Ia merupakan hasil himpunan siri kuliah tafsir yang beliau sampaikan di radio Damsyiq, Syria.
 
"JAKIM mula menterjemah tafsir ini pada tahun 2009 melalui Bahagian Penerbitan JAKIM. Usaha ini diteruskan tahun demi tahun dengan beberapa siri bengkel, bacaan pruf dan tashih."
 
Menurut beliau lagi, Tafsir al-Wasit ini adalah huraian tafsir al-Quran secara ringkas dan padat serta bahasa yang mudah difahami.
 
"Penjelasan kepada makna-makna perkataan yang sukar difahami, sebab-sebab nuzul, huraian kaedah tatabahasa (i'rab), mengutarakan kumpulan ayat-ayat tertentu sebagai satu topik dan pengajaran yang mempunyai persamaan dalam Tafsir al-Munir dan Tafsir al-Wajiz adalah merupakan keistimewaan tafsir ini." Katanya.
 
Katanya lagi, kitab ini mengandungi 582 mukasurat dan sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat. Ia boleh dibeli dengan harga RM88.00 di Kedai Buku JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya atau boleh mengunjungi lot L007 - L008 Pesta Buku Antarabangsa PWTC pada 29 Mac hingga 7 April 2019.
 
JakimTerbit Kitab Al Wasit 1
 
JakimTerbit Kitab Al Wasit 2
 
JakimTerbit Kitab Al Wasit 3
 
JakimTerbit Kitab Al Wasit 4