WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA
IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

 
 
LOGO JAKIM OUTLINE
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
 
BERKENAAN
 
NABI MUHAMMAD SAW MENGANJURKAN KEDAMAIAN

1. Sempena sambutan Maulidur Rasul SAW tahun 1442H bersamaan 2020M, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru seluruh umat Islam khususnya di Malaysia agar sama-sama kita menghayati sirah dan sunnah Rasulullah SAW dengan sebenar-benarnya. Ini kerana, penghayatan terhadap sirah dan sunnah Rasulullah SAW akan menjadikan kita sebagai umat yang mulia dan dapat dicontohi serta dapat mengelakkan agama Islam difitnah dan dipandang serong oleh pihak-pihak yang memusuhi Islam.
 
2. JAKIM merasa kesal dengan tindakan provokatif karikatur Nabi Muhammad SAW yang telah dicetuskan oleh akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo. Isu ini tidak sepatutnya ditimbulkan apatah lagi di saat umat Islam di seluruh dunia kini meraikan bulan Rabiulawal bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
 
3. JAKIM menyokong penuh inisiatif YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang telah menulis surat khusus berhubung isu ini kepada Duta Perancis di Malaysia sebagai teguran penuh hikmah terhadap tindakan tidak wajar pihak berkenaan.
 
4. JAKIM juga ingin menasihati umat Islam di Malaysia khususnya agar berhati-hati dalam sebarang tindak balas dalam menangani isu ini sehingga melakukan sesuatu yang di luar batasan agama dan undang-undang. Ini kerana dibimbangi ia boleh mencetuskan suasana tidak harmoni antara penganut berbilang agama.
 
5. Sesungguhnya kehadiran Rasulullah SAW di atas muka bumi ini antara lain ialah untuk membawa kedamaian di tengah-tengah masyarakat yang hidup saling menumpahkan darah di antara satu sama lain. Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW terbukti membawa kedamaian kerana perintah Allah yang banyak di dalam al-Quran menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak, tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam setelah disampaikan mesej Islam kepada mereka. Bahkan Islam mengajar umatnya supaya berhikmah dalam berdakwah. Justeru, memelihara kedamaian adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Anfal ayat 61 yang bermaksud : “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
 
6. Sesungguhnya Islam melarang umatnya melakukan kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman samada sesama Islam atau dengan bukan Islam. Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan negara mahupun dunia.
 
7. Justeru JAKIM menyeru kepada seluruh umat Islam bahkan masyarakat bukan Islam agar terus berpegang teguh dengan lima prinsip Rukun Negara bagi menjamin persefahaman, hormat menghormati dan perpaduan antara kaum dan agama di negara ini sentiasa terpelihara.
 
8. Semoga sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini lebih membawa kedamaian kepada Negara Malaysia khususnya dan dunia amnya selaras dengan tema Ummah Rabbani Negara Harmoni.
 
Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW Tahun 1442H/2020M
 
DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
Yang menjalankan tugas
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM)
29 Oktober 2020
 
 



QR Code Portal JAKIM
Hakcipta © 2019 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 27 November 2020.
Jumlah Pelawat :12480535