Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah
Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-61 Tahun 1440H/2019M dengan tema ''Menyantuni Umat Membawa Rahmat'' telah berlangsung dengan jayanya pada 15 hingga 20 April 2019 bersamaan 9 – 14 Sya’ban 1440H di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan hadiah telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim. Majlis turut dihadiri oleh:
 
TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, dan
YABhg. Toh Puan Datuk seri Utama Hajah Majimor binti Sharriff,
 
TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Mohd Khalil Yaakob, dan
YABhg. Toh Puan Datuk Seri Utama Dato’ Zurina binti Kassim,
 
TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Haji Mahiruddin, dan
YABhg. Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk R.M. Jasni,
 
TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud, dan
YABhg. Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib,
 
YAB Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan
YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali.
 
Qari dan Qariah dari Malaysia, ABDUL KHAIR BIN JALIL dan NOR FARHATUL FAIRUZAH BINTI PANUT masing-masing diumumkan sebagai johan kategori tilawah MTHQA edisi ke-61 pada tahun ini. Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing membawa pulang hadiah utama kepingan emas bernilai RM70,000 sumbangan YaPEIM, wang tunai RM40,000, piala iringan, cenderahati dan sijil penyertaan. ABDUL KHAIR BIN JALIL memperoleh markah 93.02 % manakala NOR FARHATUL FAIRUZAH BINTI PANUT memperoleh markah 87.05 %.
 
Qari Algeria, YASSINE BEKOUASSA dan qariah Indonesia, WARDATUN NISA HASA muncul sebagai naib johan kategori tilawah yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM30,000, cenderahati dan sijil penyertaan.
 
Qari dan qariah yang memenangi tempat ketiga pula ialah ILYAS LAMHAYAOUI dari Maghribi dan KARIMAH HAYIBARAHENG dari Thailand yang telah berjaya membawa pulang wang tunai RM20,000, cenderahati dan sijil penyertaan.
 
Bagi kategori menghafaz al-Quran bahagian lelaki, MOHAMED ABDI dari Sweden muncul sebagai juara, manakala MOHAMMAD MARUF HOSSAIN dari Kanada di tempat kedua dan HEYTHAM SAGAR AHMAD dari Kenya di tempat ketiga. Johan kategori menghafaz al-Quran bahagian wanita pula disandang oleh FATOUMA OUSSENI MOUSSA dari Niger, MS. HADEEL K.A MADFAA dari Palestin di tempat kedua dan HASIYA USMAN JIBRILLA MOHAMME dari Nigeria di tempat ketiga.
 
Johan bagi kategori menghafaz al-Quran menerima hadiah utama kepingan emas bernilai RM70,000 sumbangan YaPEIM, wang tunai RM25,000 dan piala iringan manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 dan RM15,000.
 
MTHQA tahun 2019 menyaksikan penyertaan seramai 99 orang peserta daripada 68 buah negara termasuk penyertaan kali pertama dari tujuh (7) buah negara iaitu Austria, Azerbaijan, Sweden, Norway, Kenya, Montenegro dan Ivory Coast yang tersenarai dalam saringan. Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 29 buah negara menyertai kategori Tilawah al-Quran dan 25 buah negara menyertai kategori menghafaz al-Quran di peringkat akhir.
 
MTHQA2019 1
 
MTHQA2019 2
 
MTHQA2019 3
 
MTHQA2019 4
 
MTHQA2019 5
 
MTHQA2019 6
 
MTHQA2019 7
 
MTHQA2019 8
 
MTHQA2019 9
 
MTHQA2019 10
 
MTHQA2019 11