Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:53 Syuruk : 7:10 Zohor : 1:19 Asar : 4:34 Maghrib : 7:25 Isyak : 8:36

jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
MENGENAI

STATUS HALAL TERKINI PRODUK PURE CREAMERY BUTTER – GOLDEN CHURN BUTTER
KELUARAN SYARIKAT BALLANTYNE FOOD PTY NEW ZEALAND
 

Merujuk kepada Kenyataan Media Majlis Islam Sarawak bertarikh 28 Julai 2011 dan Kenyataan Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertarikh 3 Ogos 2011 berkenaan isu status halal produk Pure Creamary Butter – Golden Churn Butter, Keluaran Syarikat Ballantyne Pty New Zealand.
 
JAKIM ingin menjelaskan kekeliruan tersebut dan ingin memaklumkan hasil perbincangan dengan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Kimia Malaysia (JKM), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan,Kementerian Kesihatan Malaysia (BKKM, KKM), Jabatan Agama Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) pada 8 Ogos 2011 telah memutuskan bahawa Produk Pure Creamery Butter - Golden Churn Butter keluaran Syarikat Ballantyne Food PTY (NZ) beralamat Allen Street Morrinsville 3340 New Zealand yang dipasarkan di Malaysia, adalah tidak halal.
 
Ini berikutan laporan analisis yang telah diterima oleh Jabatan Agama Islam Sarawak pada 19 Julai 2011 menunjukkan bahawa asid deoksiribonukleik (deoxyribonucleic acid - DNA) babi telah disahkan oleh JKM dikesan dalam produk berkenaan. Keputusan ini diambil setelah mendapati produk yang terlibat berpunca dari kilang yang sama walaupun diimport oleh pihak yang berbeza dan juga diedarkan di pasaran yang berbeza. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh wakil syarikat. Sehubungan dengan itu, umat Islam diminta untuk tidak menggunakan produk ini. Keputusan ini telah dimaklumkan kepada syarikat berkenaan pada pertemuan pada 9 Ogos 2011 dan syarikat Ballantyne Foods PTY Ltd bersetuju menarik balik produk yang terbabit dari pasaran.
 
Bagi pemegang dan permohonan baru Sijil Pengesahan Halal dari JAKIM ataupun Jabatan Agama Islam Negeri pula yang telah menggunakan produk ini, diminta untuk melakukan proses-proses yang berikut :-

i. Menukarkan bahan ramuan tersebut kepada bahan ramuan lain yang mempunyai Sijil Halal yang diiktiraf;
ii. Mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baru;
iii. Melakukan proses samak dengan disaksikan oleh Jabatan Agama Islam Negeri; dan
iv. Mengemukakan bukti surat akuan samak daripada pihak Jabatan Agama IslamNegeri.
 
Pihak Jakim sentiasa prihatin dan mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan kepentingan umat Islam terpelihara dalam isu-isu berkaitan dengan halal dan tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini.
 
Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berkaitan dengan isu-isu halal semua pihak diminta untuk merujuk melalui web Jakim http://www.islam.gov.my ataupun laman web Bahagian Hab Halal http://www.halal.gov.my dan tidak merujuk kepada sumber yang tidak sahih seperti laman web sosial. Sebarang pertanyaan berkenaan status halal sesuatu produk boleh menghubungi Bahagian Hab Halal, JAKIM di talian 03–83150200.
 

HAJI OTHMAN MUSTAPHA
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
12 Ogos 2011
 
 
Lampiran :
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 17 Ogos 2018.
Jumlah Pelawat :12216085