Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:40 Syuruk : 7:01 Zohor : 13:13 Asar : 16:37 Maghrib : 19:21 Isyak : 20:35

jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
 
BERKENAAN
 
PELANTIKAN PENGARAH
JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (JAWI)
YANG BAHARU
__________________________________________________________
 
1. Sukacita dimaklumkan Tuan Haji Abdul Aziz bin Jusoh telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang baharu berkuat kuasa pada 1 Mac 2017 (Rabu) bagi menggantikan Tuan Haji Paimuzi bin Yahya yang kini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim.
 
2. Tuan Haji Abdul Aziz bin Jusoh adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1985 dalam bidang al-Qur'an dan as-Sunnah. Beliau juga memperoleh Sijil Kaunseling & Pengurusan Agama pada tahun 2003 dari Muslim College of London, United Kingdom.
 
3. Beliau memulakan kerjayanya di Jakim pada tahun 1986 sebagai Penolong Pengarah di Bahagian Penyelidikan, Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Agama di Kedutaan Besar Malaysia, Tokyo, Jepun dan Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta, Indonesia. Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan Sarawak.
 
4. Kecemerlangan Tuan Haji Abdul Aziz bin Jusoh dalam sektor awam telah mendapat pengiktirafan Kerajaan apabila beliau diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1999, 2005 dan 2013. Seterusnya beliau juga dikurniakan Pingat Kesatria Mangku Negara oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2009.
 
5. Rentetan dari pelantikan Tuan Haji Abdul Aziz bin Jusoh sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), beliau juga bakal dilantik sebagai Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang baharu berdasarkan kepada subseksyen 14(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, [Akta 505] yang memperuntukkan bahawa Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan hendaklah menjadi Setiausaha Majlis.
 
6. Justeru, tahniah saya ucapkan kepada Tuan Haji Abdul Aziz bin Jusoh dan saya berharap agar pelantikan ini akan menyemarakkan lagi fungsi dan peranan JAWI dalam memartabatkan Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
 
Sekian
 
TAN SRI DATO' HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
2 Mac 2017
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 25 Mei 2017.
Jumlah Pelawat :10942066