Mesyuarat Sasaran Kerja Strategik Jakim Kajian Penilaian Setengah Tahun 2012 ‘Memacu Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam’
Putrajaya – Mesyuarat Sasaran Kerja Kerja Strategik Jakim; Kajian Penilaian Setengah Tahun 2012 telah diadakan di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 2 dan 3 Julai 2012. Mesyuarat selama dua hari itu telah dipengerusikan oleh Dato’ Hj. Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim. Seramai 120 orang pegawai kanan Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menghadiri mesyuarat tersebut. Turut hadir Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Jakim dan Pengarah JAWI.
Mesyuarat ini diadakan bagi menilai pelaksanaan aktiviti Jakim daripada awal tahun sehingga pertengahan tahun 2012 serta merancang pelaksanaan program akan datang. Dalam ucapannya, Ketua Pengarah Jakim menggesa agar semua pihak bekerja lebih kuat untuk memastikan indikator yang ditetapkan dalam Pelan Strategik Jakim 2009-2014 tercapai sepenuhnya. Beliau juga menyeru agar setiap bahagian membuat penilaian terhadap program atau aktiviti yang dijalankan agar ia memberi impak yang optimum kepada pelanggan.
Pada hari pertama, peserta telah diberikan penerangan kaedah penilaian bagi Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) oleh pegawai daripada Sektor Pembangunan Dasar Naik Pangkat & Prestasi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Cadangan penambahbaikan terhadap mekanisme pelaksanaan aktiviti dan kaedah penilaian program yang dijalankan oleh Jakim dan JAWI telah dibincangkan sepanjang mesyuarat ini. Di akhir mesyuarat, Ketua Pengarah menaruh harapan yang tinggi kepada semua kakitangan agar dapat mengerakkan Jakim ke arah sebuah agensi pusat yang unggul selari dengan tema‘Memacu Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam’.




- Hits : 917







