Modul Pusat Latihan Islam dan Pusat Latihan Dakwah JAKIM Cawangan Sabah Diseragamkan

Bahagian Latihan JAKIM telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Pusat Latihan Islam (PLI) dan Pusat Latihan Dakwah (PLD) JAKIM Cawangan Sabah pada 24-26 Januari 2007. Mesyuarat yang diadakan di Pusat Latihan Islam Kundasang, Sabah ini dihadiri oleh Pengetua Pusat-Pusat Latihan Islam dan Pusat-Pusat Latihan Dakwah JAKIM Cawangan Sabah, Pengetua IKMAS, wakil dari Darul Quran JAKIM dan wakil dari ILIM. Mesyuarat selama tiga hari ini telah dipengerusikan oleh Dato' Haji Wan Mohamad Bin Dato' Sheikh Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM.

Mesyuarat ini merupakan road map bagi menyemak aktiviti yang dilaksanakan dapat mencapai objektif dan fungsi organisasi JAKIM di Sabah dan Sarawak, dalam mewujudkan pelatih yang mampu berfungsi dalam masyarakat. Selain itu juga, penekanan kepada bilangan dan kualiti pelatih yang mampu berfungsi melebarkan visi dan misi organisasi adalah indikator pengukuran kejayaan dalam pengurusan strategik Pusat Latihan Dakwah (PLD) dan Pusat Latihan Islam (PLI). Pengetua PLI dan PLD disaran supaya mengambil maklum dengan cabaran-cabaran dan mengambil peluang dengan kekuatan dan peluang yang ada bagi melaksanakan aktiviti, antaranya ialah turut serta dengan dasar perlaksanaan Islam Hadhari.

Tanggungjawab dan harapan tersebut telah dimetrikan ditempat yang ketinggiannya 3000 kaki dari aras laut, di kaki Gunung Kinabalu Sabah.