Judul: Tadabbur Kalamullah 22 Ramadhan 1441H - Kelebihan Lailatulqadar
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 22 RAMADHAN 1441H
KELEBIHAN LAILATULQADAR
وَمَاۤ أَدۡرَىٰكَ مَا لَیۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ * لَیۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَیۡرࣱ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرࣲ
"Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan" [Surah al-Qadr 2-3]
Dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar. Iaitu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Para ulamak berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam al-Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. 
Imam Ibnu Qudamah rahimahullah berpendapat malam al-Qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan.
Imam al-Qurtubi rahimahullah berkata: “Malam al-Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan (yang lain)".
Daripada Sayidatina 'Aisyah r.ha, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ
"Adalah Rasulullah saw berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadhan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain” (HR Ahmad)
Sayidatina 'Aisyah r.ha juga berkata: “Adalah Rasulullah saw apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadhan), Baginda saw akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isteri baginda)” (HR Muslim)
Berkata Sayidina Ubadah bin as-Somit r.a: “Sesungguhnya malam tersebut (al-Qadar) bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut". (Lihat Umdah al-Qari)
Jelas menggambarkan kepada kita semua betapa berkat, mulia, hebat dan agungnya malam al-Qadar sebagaimana dinyatakan oleh Allah swt lebih baik daripada 1000 bulan. Sekarang kita berada di 10 malam terakhir Ramadhan, maka bersungguh-sungguh beribadah dengan mengisi hari-hari berbaki ini dengan solat fardhu berjemaah, solat sunat rawatib, solat dhuha, solat tarawih, solat witir, solat tahajud, qiamullail, zikir, bacaan al-Quran, selawat nabi, berdoa, bertaubat, memohon keampunan, kerahmatan, syurga dan juga minta dijauhkan daripada azab neraka. Semoga kita bertemu Lailatul Qadar dan beroleh ganjaran sebagaimana yang dijanjikan. Aamiiin.